Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

‘RedDotters’ semarakkan semangat kampung di Qatar

Jun 21, 2023 | 12:00 AM



 Apabila jauh di rantauan, cara terbaik mengubat rasa rindu terhadap kampung halaman di Singapura ialah dengan mendekatkan masyarakat Singapura yang tinggal di negara asing itu.

Inilah yang telah dilakukan masyarakat RedDotters di Doha, Qatar dalam usaha mereka menyatukan warga Singapura yang menetap di sana, selain memberikan sokongan dan dorongan antara satu sama lain.

Masyarakat RedDotters telah disebut dalam ucapan Presiden Halimah Yacob dalam satu jamuan makan malam di Ritz Carlton, Doha Qatar pada Selasa.

Puan Halimah berada di negara timur tengah itu dalam rangka lawatan rasmi – yang terakhir selaku Presiden Singapura. Presiden Halimah telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Puan Halimah memuji semangat daya tahan yang ditonjolkan masyarakat Singapura di Qatar terutama semasa berdepan dengan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, beliau terharu dengan kisah warga Singapura yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik, tetapi masih mampu beralih ke industri lain, dengan ada yang memulakan syarikat sendiri.

Mantan presiden RedDotters, Encik Muhammad Sharyfie Hamdan, 37 tahun, berkata semangat kental dan kesepaduan dalam kalangan masyarakat Singapura itu memang dapat dilihat sepanjang beliau berada di sana sejak November 2011.

Beliau bekerja sebagai Pengarah Urusan bagi syarikat reka bentuk dalaman, Daya. Daya merupakan sebuah syarikat asal Singapura yang diasaskan bapa beliau, usahawan Encik Hamdan Kasimi.

Meskipun masyarakat itu hanya mempunyai sekitar 300 anggota, ia merupakan satu masyarakat yang rapat, saling menghulurkan bantuan antara satu sama lain terutama jika seseorang warga Singapura memerlukannya.

Beliau menukil bagaimana masyarakat RedDotters bersatu hati membantu seorang warga Singapura, Allahyarham Sarhid Yusoff yang meninggal dunia pada 2017 di sana.

Apabila berita itu tersebar, ramai warga Singapura di Qatar tampil menghulurkan sokongan fizikal dan emosi kepada Encik Sharyfie, yang turut dibantu dalam menguruskan segala yang diperlukan seperti menjaga keluarga Allahyarham yang tiba dari Singapura.

“Masyarakat di sini membantu dalam pelbagai aspek, termasuk mendapatkan dokumentasi dari pihak hospital, entiti pemerintah dan kedutaan Singapura selain proses pengurusan jenazah.

“Selalunya jika di Singapura, perkara sebegini dilaksanakan oleh saudara-mara dan keluarga terdekat. Tetapi warga Singapura di Qatar bersedia menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk ketika itu,” katanya.

Encik Sharyfie yang merupakan presiden RedDotters dari 2015 hingga 2019, berkata beliau dan ahli jawatankuasanya yang hanya tujuh orang, telah mengadakan pelbagai aktiviti bagi warga Singapura di sana sebagai usaha untuk mengeratkan silaturahim antara mereka.

Antaranya termasuk menganjurkan acara sambutan empat perayaan yang utama di Singapura seperti Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Natal.

“Bayangkan anda mendengar orang menggunakan ‘singlish’ di negara asing, dan dijamu dengan masakan tradisional Singapura seperti lontong, ketupat dan serunding! 

“Pastinya ini mengubat rindu warga Singapura terhadap makanan dan budaya yang memang unik kepada Singapura,” katanya.

Selain itu, dibawah pucuk pimpinan Encik Sharyfie, RedDotters juga pernah menganjurkan acara YallaSG di mana warga Singapura digalak melalui laluan ‘off road’ ke tarikan utama di Qatar seperti mengunjungi bakau, lubang benam atau ‘sinkhole’ dan mengumpul bunga ros di padang pasir.

“Apabila bertemu dengan warga Singapura yang lain, mereka dapat bertukar-tukar pandangan daripada lensa seorang warga Singapura yang menjadi ekspatriat di negeri orang. Sekurang-kurangnya jika ada sebarang permasalahan, mereka boleh mendapatkan nasihat dan sokongan daripada mereka yang berada di sini,” katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >