Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan Maulud selama 12 hari di Masjid Hasanah

Sep 29, 2023 | 5:30 AM
SAMBUT MAULIDUL RASUL LEBIH AWAL: Jemaah di dewan solat Masjid Hasanah semasa hari sambutan Maulud Nabi saw yang diadakan di masjid tersebut pada 25 September lalu.
SAMBUT MAULIDUL RASUL LEBIH AWAL: Jemaah di dewan solat Masjid Hasanah semasa hari sambutan Maulud Nabi saw yang diadakan di masjid tersebut pada 25 September lalu. - Foto MASJID HASANAH

Dengan tema Kelahirannya diingati, sunnahnya diikuti’, Masjid Hasanah kini sedang giat mengadakan sambutan meraikan hari yang penuh bersejarah dan bermakna bagi semua umat Islam di seluruh dunia, Maulidur Rasul, Nabi Muhammad saw.

Malah, sejak Sabtu,16 September lalu, ia telah mula mengadakan beberapa acara berturut-turut yang dirancang berterusan selama 12 hari hingga Rabu lalu bersamaan 12 Rabiulawal yang merupakan hari kelahiran Nabi saw.

Berkongsi mengenai beberapa acara itu, Ketua Jabatan Dakwah Masjid Hasanah, Ustaz Badrussalam D’jaffar, memberitahu bahawa kegiatan pada Rabu lalu termasuk satu ceramah khas yang disampaikan oleh Dr Izzal Mustafa Kamar bertajuk ‘Apakah Terdaya Kuamalkan Sunnah?’

Peristiwa kelahiran Nabi Muhammad saw merupakan satu detik yang amat berharga kerana di situlah bermulanya sirah agung yang membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kejahilan kepada keislaman, demikian semangat yang ingin dipaparkan oleh Masjid Hasanah selama ini sempena Maulidur Rasul.

Justeru, sejak 2020, walaupun pandemik Covid-19 telah bermula, ia tetap mengusahakan secara dalam talian sambutan hari kebesaran umat Islam ini selama 12 malam berturut-turut.

Kini, ia dapat diteruskan lagi dan membuka sambutannya kepada semua Muslimin dan Muslimat khususnya penduduk di Teban dan Pandan Gardens. Sejauh ini, 60 hingga hampir 100 jemaah lelaki dan wanita telah hadir untuk memeriahkan sambutan majlis Maulidur Rasul 1445 Hijrah di masjid itu.

Ustaz Badrussalam D’jaffar menerangkan tujuan sambutan itu kali ini adalah melahirkan masyarakat berukhuwah Islamiah dalam konsep perpaduan ummah dan akhlak mulia melalui perkongsian mengenai akhlak Rasulullah saw serta sunah-sunahnya.

Sementara itu, seorang jemaah, Encik Zulkifli Mohd Noor, 65 tahun, ketika ditanya mengapa beliau menghadiri majlis sambutan Maulud di Masjid Hasanah, berkata beliau ingin menimba ilmu dan mengetahui sejarah Rasulullah saw melalui syarahan yang diadakan.

Cik Masdah Bakar, 63 tahun, pula berkata beliau mahu mengambil peluang membaca sama zikir beramai-ramai sambil berselawat ke atas Nabi saw selain mengeratkan silaturahim dengan kaum Hawa yang lain.

Jemaah yang ingin dikenali sebagai Haji Noh saja, 63 tahun, pula mahu menimba banyak ilmu mengenai Nabi saw seperti kehidupan, perjuangan dan sunah baginda.

Dalam satu sesi sambutan itu, Ustaz Badrussalam juga berkongsi bagaimana Rasulullah saw membina masjid pertama di Quba apabila baginda berhijrah ke Madinah bersama Saiyidina Abu Bakar pada 8 Rabiulawal.

Ustaz Badrussalam ingin mengambil kesempatan dengan menggalakkan jemaah agar tidak ketinggalan mengikuti kebaikan yang dilakukan oleh Nabi saw dengan menderma bagi projek naik taraf Masjid Hasanah sebagaimana terkandung dalam riwayat hadis Muslim, “Sesiapa yang membina masjid kerana Allah, Allah membina baginya rumah di syurga kelak (binaan) seumpamanya”.

Beliau juga menggalakkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada peristiwa penghijrahan Nabi saw dan sama-sama membantu menjayakan program Masjid Hasanah seperti projek naik taraf dan operasi masjid itu dengan menghulurkan derma.

Seterusnya, antara program penutup sambutan Maulud masjid itu ialah sambutan khas untuk Muslimah pada 1 Oktober, 11 pagi, bertajuk ‘Kunci Wanita Menggapai Syurga’. Bagi projek naik taraf masjid pula, Ustaz Badrussalam memberitahu, satu syarahan akan diadakan pada Sabtu, 28 Oktober, bersama Ustaz T. M. Fouzy bertajuk ‘Sungguh Indahnya Akhlakmu, Ya Rasulullah’.

Syarahan ini akan diadakan di Masjid Darul Aman dari 6 petang hingga 10 malam. Muslimin dan Muslimat dipersilakan hadir untuk menyokong projek ini.

CARA MENYUMBANG KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID HASANAH

1. PayNow ke UEN: S70MQ0042B.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 591-070164-001. Isi di ruang ‘rujukan’ dengan ‘wakaf’ Jika mahu resit, sila isi borang di www.linktr.ee/hasanahmosque

3. Melalui cek atas nama ‘LPM Hasanah’. Poskan ke alamat Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878. Tulis nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek.

4. Pertanyaan lanjut, hubungi pejabat Masjid Hasanah di talian 6561-7990, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang; Sabtu dan Ahad, 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg