Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBF mahu tambah ahli, jalin lebih banyak perkongsian awam-swasta

Jul 1, 2024 | 5:30 AM
Ketua Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, berkata persatuan itu merancang menambah lebih 30 peratus keanggotaannya.
Ketua Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, berkata persatuan itu merancang menambah lebih 30 peratus keanggotaannya. - Foto SBF

Dewan perniagaan utama Singapura akan bekerjasama dengan lebih banyak syarikat di sini sedang ia menangani cabaran yang timbul daripada kebimbangan domestik, ketidaktentuan sejagat dan kepesatan perubahan teknologi.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama The Straits Times, Ketua Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, berkata persatuan itu merancang menambah keanggotaannya sebanyak lebih 30 peratus.

Ini akan meningkatkan keanggotaannya, termasuk firma dalam industri seperti perkilangan, penjagaan kesihatan dan perdagangan runcit, daripada 30,000 kepada 40,000 syarikat tempatan menjelang 2030.

Beliau menambah bahawa SBF merancang melibatkan 25,000 anggota dan syarikat bukan anggota menjelang akhir dekad ini, meningkat daripada 13,000 sekarang, melalui dialog bersama pemerintah, projek membantu firma mengembangkan sayap ke luar negara dan kursus latihan untuk pekerja.

Persatuan itu juga menyasarkan menggandakan perkongsiannya dengan agensi pemerintah dan pertubuhan swasta, daripada 150 kepada 300, menjelang 2030.

“Pendekatan utama SBF ialah mengukuhkan rangkaian rakan kongsi kami merentasi kedua-dua sektor pemerintah dan swasta supaya kami boleh menggerakkan sumber, kepakaran dan rangkaian mereka untuk meningkatkan impak kami kepada masyarakat perniagaan,” ujar Encik Kok.

Ditubuhkan pada 2002, SBF membantu perniagaan di Singapura menangani kebimbangan berkaitan perdagangan dan pelaburan, pengurusan tenaga kerja dan gaji.

Ditanya mengenai bagaimana persekitaran operasi perniagaan Singapura telah berubah dalam dua dekad sejak SBF ditubuhkan, Encik Kok menyatakan ekonomi Singapura telah berkembang pesat.

Tetapi terdapat ketidaktentuan luaran dan kekangan dalaman yang menjejas perniagaan Singapura.

Encik Kok berkata: “Terdapat dua peperangan sekarang, banyak perbincangan tentang betapa multilateralisme sedang runtuh, dan pertumbuhan ekonomi perlahan di China… Singapura tidak dapat mengawal perkara ini kerana kita adalah ekonomi kecil, tetapi ia menjejas perniagaan secara umum.”

Beliau memetik Laporan Daya Saing Dunia IMD 2024 baru-baru ini yang menunjukkan Singapura meraih semula kedudukan teratas selepas tiga tahun, sambil menyatakan pencapaian itu mencerminkan dasar ekonomi negara dan pelaburan pemerintah yang kukuh.

Tetapi kedudukan Singapura dalam sub-penunjuk “harga” turun daripada 51 kepada 62 dari 67 negara yang terlibat dalam tinjauan itu.

Encik Kok, yang sebelum ini merupakan ketua eksekutif di GovTech yang menyaksikan beliau mengetuai pembangunan penyelesaian digital seperti TraceTogether dan SafeEntry semasa pandemik Covid-19, turut menyerlahkan apa yang beliau panggil sebagai “dunia 100 kali ganda”, apabila perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan cepat mengikut dunia yang bergerak pantas.

Teknologi, kelestarian alam sekitar dan keperluan tenaga kerja adalah beberapa perkara yang sedang berkembang pesat, katanya.

“Jika anda melihat betapa pantasnya sesuatu bergerak, 18 bulan yang lalu, tiada siapa tahu apa-apa tentang ChatGPT, tetapi kini semua orang bercakap tentang keupayaan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg