Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

MASJID AR-RAUDHAH

Seminar, wisata berkaitan Al-Quran sambil sokong dana peningkatan masjid

Jun 23, 2023 | 05:30 AM



Buat julung-julung kalinya, Masjid Ar-Raudhah akan menganjurkan Seminar Raudhatul Quran: Rahsia Keajaiban Membaca dan Memahami Al-Quran pada 16 Julai ini, menyusuli festival Al-Quran, Quranfest.

Seminar itu akan berlangsung sebelum Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Kebangsaan Singapura (MTTQ) yang bakal diadakan pada 29 dan 30 Julai ini bagi menyemarakkan lagi semangat agar jemaah mencintai kitab suci Al-Quran, sekali gus memakmurkan masjid dengan program-program Al-Quran.

Penganjur akan mengundang Timbalan Mufti, Dr Ustaz Izal Mustaffa, untuk menyampaikan ucaptama pada acara tersebut, manakala ceramah akan disampaikan oleh mantan Johan Qari Singapura, Ustaz Muhammad Rizal Hussin, dan pengasas pendidik di Arabic Lab SG dan penceramah bebas di Singapura, Ustaz Ahmad Muzammil Shukri.

Antara perkara yang bakal dikupas dalam seminar itu ialah:

– Apakah itu mukjizat dan kenapa Al-Quran dipilih sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya?


– Benarkah hikmah dan keajaiban Al-Quran hanya dapat dirasakan oleh pencinta Al-Quran dan apakah contoh-contohnya?

– Bolehkah peroleh pahala dengan hanya mendengar alunan bacaan surah Al-Quran dan apakah bukti, keistimewaan dan keajaibannya?

– Apakah rahsia keajaiban dan hikmah membaca dan memahami Al-Quran?

Eksekutif Kanan Jabatan Al-Quran Masjid Ar-Raudhah, Ustazah Ramlah Marjo, menggalakkan masyarakat Islam menyertai seminar itu supaya dapat mendalami dan mengetahui tentang rahsia keajaiban membaca dan memahami Al-Quran.

“Harapan kami supaya ilmu Al-Quran ini dapat difahami masyarakat Islam dengan lebih luas dan mendalam. Kami akan adakan program berkaitan selanjutnya supaya masyarakat Islam di sini mampu mendalami ilmu Al-Quran dengan lebih baik, bukan setakat membaca dan memahami sahaja,” katanya.

Beliau berharap masyarakat Islam, terutama bagi penduduk di kawasan Bukit Batok, tidak melepaskan peluang menghadirinya kerana peserta berpeluang berinteraksi dengan para penceramah dan mengemukakan soalan secara langsung.

Di samping seminar Raudhatul Quran, masjid-masjid di daerah barat bergabung dengan menganjurkan festival Al-Quran, Quranfest, pada 8 dan 9 Julai ini, bagi menyemarakkan lagi majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Kebangsaan Singapura 2023.

Peserta acara Quranfest boleh menyertai pelbagai kegiatan menarik, antaranya klinik Al-Quran Express (asatizah mendengar dan memperbaiki bacaan jemaah bersesuaian dengan ilmu tajwid); mengunjungi gerai pameran Al-Quran Mushaf Singapura, gerai permainan berkaitan Al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa, gerai khat untuk mempelajari cara tulisan Arab, gerai tafsir Al-Quran anjuran Masjid Al-Khair, dan gerai makanan dan minuman.

Masjid Ar-Raudhah juga akan mengadakan wisata ke Musabaqah Tilawah & Tahfiz Al-Quran peringkat antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, 23 hingga 25 Ogos sebagai acara susulan.

Harga wisata ialah $230 termasuk derma bagi dana untuk Masjid Ar-Raudhah. Peserta wisata berpeluang melihat dan mendengar qari dan qariah di Musabaqah Tilawah & Tahfiz Al-Quran peringkat antarabangsa dan akan melawat tempat percetakan kitab suci Al-Quran di Yayasan Restu.

Wisata itu sebahagian usaha Masjid Ar-Raudhah mengumpul dana bagi projek peningkatan di samping menggalak lebih ramai umat Islam mencintai dan membaca Al-Quran.

Sesiapa yang berminat menyertai Seminar Raudhatul Quran: Rahsia Keajaiban Membaca dan Memahami Al-Quran pada 16 Julai, 9 pagi hingga 4.30 petang, boleh mendaftar melalui laman web, bit.ly/ARRSeminar23.

Bagi program wisata ke Musabaqah Tilawah & Tahfiz Al-Quran, anda boleh menghubungi Cik Maszita Mohamad di talian 9652-3458.

CARA MEMBERI SUMBANGAN

– PayNow: UEN S93MQ0024E. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

– Pemindahan bank: akaun semasa OCBC 501-806368-001.

– Hantarkan cek anda kepada Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, di alamat Ar-Raudhah Mosque, 30 Bukit Batok East Ave 2, Singapura 659919.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >