Singapura mempunyai undang-undang dan dasar untuk menghalang situasi seperti rusuhan di Britain baru-baru ini daripada berlaku di sini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 16 Ogos, lapor The Straits Times.
Bercakap pada majlis penyampaian biasiswa Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, beliau menekankan bagaimana maklumat salah dan ucapan kebencian menjadi antara punca rusuhan berikutan kejadian tikaman yang membunuh tiga gadis di Britain pada 29 Julai.
Polis menahan seorang lelaki berusia 17 tahun, dan maklumat palsu tersebar di media sosial bahawa suspek adalah pendatang Islam, yang membawa kepada protes ganas antiMuslim di Southport pada hari berikutnya dan cubaan untuk menyerang masjid di bandar itu.
Encik Shanmugam berkata tokoh awam dan pempengaruh dalam talian menambah ledakan isu ini lantas mencetus sentimen antipendatang dan xenofobia (rasa benci atau prejudis terhadap orang dari negara asing) yang mencetus rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun.
“Kami telah cuba mengelakkan situasi sedemikian daripada berlaku dengan menyediakan rangka kerja undang-undang yang direka dengan teliti, dan juga set dasar yang direka dengan teliti dengan memberi keutamaan kepada undang-undang dan ketenteraman,” ujar beliau.
Menurutnya, meskipun kebebasan bersuara penting di Singapura, terdapat sedikit toleransi terhadap ucapan palsu, ucapan kebencian kaum atau agama, serta ucapan yang menghasut keganasan.
Sambil menekankan bahawa di Singapura, protes dikawal di bawah Akta Ketenteraman Awam, beliau berkata, walaupun perhimpunan untuk menyatakan rasa tidak puas hati boleh bermula dengan niat yang baik dan dipimpin oleh orang yang jujur lagi idealistik, namun ia boleh dirampas oleh mereka yang ingin mewujudkan keganasan.
Beliau berkata dalam keadaan sedemikian polis diletakkan dalam kedudukan yang serba salah dan kemudian disasarkan sebagai penceroboh.
“Kami tidak meletakkan polis di Singapura dalam kedudukan sedemikian. Sebab kita kata, nak protes, dapatkan permit. Polis akan membuat penilaian. Jika ada kemungkinan timbul isu undang-undang, tidak akan ada permit diberikan,” tegasnya.
Sebagai jawapan kepada beberapa orang yang bertanya mengapa Singapura tidak membenarkan protes mengenai perjuangan Palestin, beliau berkata jika ia diizinkan, protes selanjutnya kelak perlu dibenarkan untuk sebab lain - contohnya, keadaan di Ukraine, terhadap China yang berkaitan dengan Uighur, atau mengenai isu domestik, termasuk isu perkauman.
Sambil mengetengahkan undang-undang di Singapura seperti Akta Penyelenggaraan Keharmonian Agama dan Akta Campur Tangan Asing (Langkah Balas), Encik Shanmugam berkata rangka kerja pihaknya bertindak sebagai perisai dan bukannya kerana warga Singapura secara asasnya berbeza atau bermula secara berlainan (berbanding warga negara lain).
Lebih daripada itu, pihaknya telah memberi kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menghalang sesuatu kejadian daripada menjadi rusuhan dan menghentikannya daripada menjadi perkara yang lebih serius.
“Jadi hasilnya tiada rusuhan, serangan kaum, pelanggaran undang-undang – perkara yang anda lihat berlaku (di Britain).”
“
“Dan orang berkata, mengapa anda tidak benarkan protes tentang Palestin? Jika kita benarkan perkara ini, golongan minoriti mahukannya. Saya beritahu beberapa orang daripada mereka, maka saya kemudian perlu benarkan protes untuk Ukraine juga. Kemudian, saya harus benarkan bantahan terhadap China yang berkaitan dengan kaum Uyghur jika ada yang mahu berbuat demikian. Kemudian, saya harus benarkan protes di Singapura mengenai layanan minoriti di Malaysia. Kita juga kemudian harus benarkan bantahan dalam isu domestik, termasuk isu perkauman. Jadi di manakah harus kita tetapkan garisan batasannya?”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg