SOUTHPORT: Ibu bapa salah seorang daripada tiga budak perempuan yang dibunuh semasa sebuah acara bertemakan penyanyi Taylor Swift di utara England menggesa dihentikan rusuhan di seluruh negara selepas kematian mereka.
Mereka membuat gesaan itu pada pengebumian penuh emosi anak perempuan mereka.
Alice da Silva Aguiar, sembilan tahun, dan dua lagi kanak-kanak perempuan maut sementara lapan orang cedera ditikam dalam serangan di acara di bandar tepi pantai Southport itu pada Julai.
Rusuhan tercetus dan berlaku beberapa hari di Southport dan di pekan serta bandar di seluruh United Kingdom, gara-gara catatan palsu dalam talian yang salah mengenal pasti suspek pembunuh sebagai seorang pendatang Muslim.
Semasa pengebumian Alice, ketua polis kawasan itu memberitahu hadirin ibu bapanya yang berketurunan Portugis, Cik Sergio dan Alexandra, memintanya menyampaikan rayuan kepada orang ramai supaya bertenang.
“Kamu menunjukkan keberanian tinggi dengan meminta saya berada di sini hari ini… untuk memberikan mesej daripada kamu, keluarga Alice, bagi mengatakan bahawa kamu tidak mahu ada lagi keganasan di jalan raya di United Kingdom atas nama anak perempuan kamu,” kata Ketua Konstabel Merseyside, Cik Serena Kennedy.
“Saya malu, dan saya sangat menyesal kerana anda terpaksa mempertimbangkan perkara ini dalam perancangan pengebumian anak perempuan cantik anda, Alice.
“Dan saya berharap sesiapa sahaja yang menyertai kekacauan ganas di jalan raya sejak 13 hari lalu akan menundukkan kepala mereka kerana malu mengenai kesakitan yang mereka timpakan ke atas anda, sebuah keluarga yang sedang bersedih.”
Lebih 900 orang ditangkap dan 466 didakwa bagi kesalahan berhubung kekacauan itu, yang terutamanya disasarkan kepada pendatang dan masyarakat Islam.
Berpuluh-puluh orang telah dijatuhi hukuman dan dipenjarakan, setelah kes-kes itu dapat dikesan pantas melalui mahkamah.
Banyak lagi tangkapan dan pertuduhan dijangka dalam beberapa bulan akan datang, kata pendakwa raya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg