Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Siasatan diraja M’sia terhadap Pedra Branca tidak jejas hubungan dua hala: MFA

Jan 25, 2024 | 06:56 PM



Rancangan Kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji keputusan 2018 membatalkan tuntutan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas tiga pulau yang dipertikaikan termasuk Pedra Branca adalah “perkara dalaman” Malaysia dan tidak akan menjejaskan hubungan dua hala, menurut pemerintah Singapura pada 25 Januari.​

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan menyatakan:


“Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah urusan dalaman Malaysia. Kami tidak melihat ini akan menjejaskan hubungan dua hala yang baik antara Singapura dengan Malaysia.”

MFA berkata Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan kedaulatan ke atas Pedra Branca kepada Singapura dalam kes berkaitan kedaulatan ke atas Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge pada 23 Mei 2008.

“Kedua-dua Singapura dan Malaysia telah mengumumkan secara terbuka bahawa mereka akan menerima dan mematuhi keputusan mahkamah yang muktamad,” tambah kenyataan itu.

Ketua Setiausaha Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Zuki Ali, pada 24 Januari berkata:

“Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji pengendalian kes berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.”

Malaysia menggunakan nama Melayu untuk merujuk kepada Pedra Branca (Batu Puteh) dan dua singkapan maritim – Middle Ledge (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).

Tan Sri Zuki berkata Yang diPertuan Agong Malaysia akan meluluskan keanggotaan suruhanjaya itu, yang dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam hal ehwal kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam dan “yang boleh menjalankan siasatan yang telus, adil dan saksama”.

Keputusan untuk menggugurkan semakan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri selepas pilihan raya 2018.

Pedra Branca terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, kira-kira 24 batu nautika timur Singapura.

Di selatannya ialah Middle Rocks dan South Ledge.

ICJ pada 2008 menganugerahkan kedaulatan ke atas Pedra Branca kepada Singapura, selepas kedua-dua negara membawa pertikaian wilayah ke mahkamah.

Mahkamah juga memutuskan bahawa kedaulatan ke atas Middle Rocks adalah milik Malaysia, dan kedaulatan ke atas South Ledge adalah milik negeri di perairan wilayah di mana ia berada.

Malaysia dan Singapura telah menubuhkan jawatankuasa teknikal bersama untuk melukis sempadan maritim di sekitar Pedra Branca dan Middle Rocks, dan untuk menentukan pemilikan South Ledge.

Kedua-dua negara berkata pada 2008 bahawa mereka akan menerima dan mematuhi keputusan mahkamah yang muktamad.

Bagaimanapun, Malaysia pada 2017, di bawah Perdana Menteri Najib Razak, memulakan permohonan untuk semakan keputusan ICJ 2008, dengan memetik bukti baru yang ada.

Satu perbicaraan kemudiannya ditetapkan pada Jun 2018.

Tetapi Dr Mahathir memutuskan pada Mei 2018 untuk menggugurkan prosiding itu.

Di bawah statut ICJ, permohonan untuk semakan tidak boleh dibuat lebih daripada 10 tahun selepas penghakiman mahkamah pada 23 Mei 2008.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >