Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan lanjut CPIB ke atas Iswaran susuli siasatan awal yang tidak berkaitan: DPM Wong

Jul 12, 2023 | 6:01 PM
CMG20230712-YeapCT02/杨浚鑫/DPM Lawrence Wong Doorstop [MCI Building] **To be embargoed till 12/7 1800hrs**
CMG20230712-YeapCT02/杨浚鑫/DPM Lawrence Wong Doorstop [MCI Building] **To be embargoed till 12/7 1800hrs** - Singapore Press Holdings Ltd

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah menjalankan siasatan lain yang tidak berkaitan dengan siasatan melibatkan Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran sebelum ia memutuskan untuk menemubual beliau sebagai sebahagian siasatan lanjut.

Mendedahkan perkara tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong ketika bertemu media pada Rabu (12 Julai) bagi memberi kenyataan berkaitan kes siasatan CPIB melibatkan Encik Iswaran itu.

Encik Wong berkata siasatan awal yang tidak berkaitan itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada Mei 2023.

Encik Wong juga telah diberitahu tentang siasatan tersebut.

“CPIB mengambil sedikit waktu untuk mendalami perkara tersebut dan mereka memberi kemas kini penemuan mereka kepada Perdana Menteri minggu lalu pada 5 Julai dan pada masa itu, mereka berkata mereka perlu menemubual Menteri Iswaran sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.

“Dalam masa sehari, Perdana Menteri memberikan persetujuannya kepada pengarah CPIB untuk membuka siasatan rasmi dan itu bermula semalam (11 Julai),” jelas Encik Wong.

Ini menunjukkan bagaimana sistem Singapura berfungsi, termasuk dengan adanya sistem pemerintah yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah, tambah beliau.

“Saya tahu warga Singapura prihatin dan mempunyai banyak soalan tentang kes ini.

“Saya tidak dapat memberikan lebih banyak maklumat... kerana siasatan CPIB sedang berlangsung, jadi saya meminta semua orang agar kita membenarkan siasatan itu berjalan dan mengelak daripada sebarang spekulasi lanjut pada ketika ini,” kata Encik Wong.

Dalam pertemuannya dengan media di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) yang berlangsung sekitar lima minit itu, Encik Wong berkata Encik Lee dan dirinya “komited sepenuhnya” untuk memelihara kepercayaan warga Singapura terhadap pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Katanya:

“Kami sentiasa menegakkan sistem pemerintah yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah dan rekod prestasi kami mengenai perkara ini selama beberapa dekad adalah jelas dan nyata kepada semua.

“Dan inilah asas kepercayaan warga Singapura kepada pemerintah PAP. Perdana menteri dan saya komited sepenuhnya untuk menjaga dan memelihara amanah ini.

“Oleh itu, kami akan mengekalkan pendirian tegas dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah. Kami akan terus menegakkan standard ketat kejujuran, integriti dan kebenaran yang dijangkakan oleh warga Singapura daripada pemimpin politik mereka.”

Encik Wong juga berkata pemerintah PAP tidak akan teragak-agak untuk menyiasat sebarang perkara yang perlu disiasat, berterus terang dengan keputusan siasatan dan tidak menyembunyikan sebarang perkara meskipun ia mungkin memalukan atau merosakkan reputasinya.

“Inilah cara pemerintah PAP dan ia akan terus kekal sebagai cara kami beroperasi,” tegas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg