Ketika pencarian Singapura bagi tenaga bersih semakin rancak dijalankan, pihak berkuasa di sini sedang menggali secara mendalam untuk meneroka sama ada haba bawah tanah boleh dimanfaatkan untuk menjana kuasa bagi keperluan negara.
Menurut The Straits Times (ST), Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) telah mengunjungi loji geoterma di luar negara bagi lebih memahami perkembangan terkini dalam tenaga geoterma dan cabaran operasi untuk teknologi dan peraturan yang diperlukan.
Kunjungan itu dibuat di tengah-tengah kajian dua tahun di seluruh pulau di Singapura yang bermula pada 2024, untuk mengenal pasti potensi tenaga geoterma dalam membantu negara mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Ini susulan kajian pada Julai 2023 yang menemui tapak berhampiran dengan mata air panas Sembawang yang mempunyai suhu sehingga 200 darjah Celsius yang diperlukan untuk penjanaan kuasa – pada kedalaman empat hingga lima kilometer.
Di Geretsried, Jerman, EMA telah mengunjungi sebuah loji yang sedang dibina oleh syarikat pemula Canada, Eavor, yang disokong syarikat pelaburan Singapura, Temasek.
Teknologi yang digunakan Eavor ialah sejenis sistem geoterma dalam yang memanfaatkan haba daripada batuan kering panas, ditemui pada kedalaman sehingga beberapa kilometer di bawah tanah.
Ini berbeza daripada sistem tradisional yang memerlukan takungan cetek air panas bawah tanah atau ciri geologi yang tidak terdapat di Singapura, kata EMA.
Loji itu, yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2026, boleh menghasilkan lebih daripada lapan megawatt (MW) elektrik – bersamaan dengan kira-kira 0.1 peratus daripada permintaan tenaga elektrik tertinggi Singapura pada 2023.
Namun, sistem geoterma lanjutan (AGS) seperti itu secara amnya lebih mahal dan mengambil masa lebih lama untuk digunakan disebabkan tempoh penggerudian yang panjang, kata jurucakap EMA.
Pembinaan loji Eavor di Jerman itu melibatkan pemasangan satu siri gelung pelbagai hala di bawah tanah untuk memanfaatkan sepenuhnya haba yang ada dan memaksimumkan kecekapan kos, jurucakap firma itu memberitahu ST.
EMA menyatakan pihaknya berminat untuk mengetahui contohnya, teknologi penggerudian yang Eavor gunakan untuk membolehkan penggerudian dalam dan berarah.
Profesor Alessandro Romagnoli daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata reka bentuk bergelung Eavor memerlukan penggerudian mendatar dan sisi yang meluas.
Justeru, kos penggerudian dijangka sangat tinggi, dan boleh membentuk kira-kira 50 peratus daripada modal yang diperlukan untuk membina loji 50MW, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg