Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

Waspada terhadap perisian hasad atau ‘malware’

Tidur dengan lena, ‘kunci’ wang anda

Jan 23, 2024 | 05:46 PM



Bimbang dengan peningkatan kejadian penipuan perisian hasad (malware) pada awal 2023, Cik Jasmine Chye bertindak pantas.


Pengurus pemasaran digital berusia 35 tahun itu memindahkan 30 peratus wang daripada tiga akaun banknya ke dalam platform pelaburan.

Setiap akaun banknya mempunyai fungsi berbeza: Satu untuk mengkreditkan gaji, satu lagi untuk pembayaran bil dan yang ketiga untuk pelbagai simpanan. Beliau meninggalkan gaji tiga bulan dalam akaun ini untuk kecemasan.

Dana yang dipindahkan adalah cara beliau mengunci wangnya – diagihkan kepada penasihat-robo Autowealth dan platform dagangan dalam talian, Poems.

Cik Chye mengakui bahawa langkah itu tidak strategik kerana semua pelaburan membawa beberapa tahap risiko dan tidak menjamin pulangan penuh.

“Dalam akaun simpanan saya, saya memperoleh faedah yang lumayan setiap bulan,” katanya.

Tetapi beliau merasakan ia perlu. Kenapa? Pengguna Android itu menjelaskan bahawa semua akaun banknya boleh diakses melalui telefon bimbitnya. Penipuan perisian hasad biasanya menyasarkan peranti dalam sistem pengendalian Android.

Pada separuh pertama 2023, terdapat lebih 750 kes yang dilaporkan mangsa penipuan memuat turun perisian hasad ke telefon mereka, menurut angka daripada Pasukan Polis Singapura (SPF).

Mangsa kebanyakannya bertindak balas terhadap iklan perkhidmatan atau produk di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Dengan alasan pembayaran, penipu akan menghantar pautan URL kepada mangsa melalui platform komunikasi WhatsApp, untuk memuat turun aplikasi Android yang mengandungi perisian hasad.

Selepas mangsa memuat turun fail ke telefon pintar mereka, penipu akan mampu mendapatkan butiran perbankan Internet dan kad kredit mangsa.

Cik Chye berkata beliau menemui ‘petua’ di media sosial tentang penipuan berkaitan perisian hasad. Seorang pengulas mencadangkan pemindahan dana daripada akaun bank kepada platform pelaburan sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun platform pelaburan Cik Chye boleh diakses melalui aplikasi mudah alih, proses pengeluaran menyukarkan penipu untuk mendapatkan wang tersebut.

Beliau menerangkan:

“Seorang pengurus akaun akan membuat panggilan telefon untuk mengesahkan pengeluaran sebelum ia diluluskan dan ia mengambil masa sehingga tiga hari bekerja bagi wang itu dikeluarkan.”

Lindungi poket anda

Bagi memerangi penipuan berkaitan perisian hasad, bank di Singapura telah memperkenalkan pelbagai langkah melindungi pelanggan.

Rasional di sebalik tindakan Cik Chye adalah serupa dengan ciri ‘kunci wang’ yang dilancarkan oleh DBS, OCBC dan UOB pada November lalu.

Ia membolehkan pelanggan menyekat sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun bank daripada transaksi digital. Setelah dikunci masuk, wang itu tidak boleh dipindahkan melalui cara digital, menjadikannya lebih sukar bagi penipu untuk mengalirkan wang daripada akaun bank yang telah mereka kuasai.

Tidak seperti platform pelaburan yang digunakan Cik Chye, dana yang diketepikan menggunakan ciri kunci wang hanya boleh dikeluarkan atau dipindahkan secara peribadi di ATM atau di cawangan bank, bergantung pada bank.

Sehingga kini, ciri itu telah diaktifkan pada kira-kira 38,000 akaun, dengan lebih $3.2 bilion dikunci, kata Cik Ong-Ang Ai Boon, pengarah Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS).

“Walaupun pendekatan ‘kunci wang’ yang diambil oleh bank berbeza-beza, mereka berkongsi matlamat yang sama untuk melindungi pelanggan daripada penipuan dengan menambahkan lapisan perlindungan sekiranya akses digital mereka kepada akaun bank terjejas.”

Langkah antipenipuan lain yang diperkenalkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan ABS termasuk:

* Langkah antiperisian hasad pada aplikasi perbankan yang boleh mengesan kehadiran perisian hasad pada peranti pelanggan dan menyebabkan tindakan tambahan dilaksana seperti menyekat akses kepada aplikasi perbankan

* ‘Suis mati’ kecemasan yang membolehkan pelanggan menggantung serta-merta akses akaun bank melalui dalam talian dan telefon bimbit yang disyaki terjejas

* Memadam pautan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mel yang dihantar oleh bank kepada pelanggan

* Menetapkan had pengeluaran asas $100 atau lebih rendah bagi pemberitahuan transaksi pemindahan dana

* Penangguhan sekurang-kurangnya 12 jam untuk mengaktifkan ‘token’ baru pada peranti mudah alih

“Teknik yang digunakan oleh penipu sentiasa berubah, dari segi kepelbagaian dan kecanggihan,” kata jurucakap MAS.

Ini bermakna tiada satu langkah yang dijamin berkesan dan untuk melindungi orang ramai, “gabungan langkah pencegahan, pengesanan, tindak balas dan pemulihan” diperlukan. Bank juga perlu sentiasa menyemak dan menstruktur semula langkah ini, tambah jurucakap MAS itu.

Penipuan perayaan

Dengan Tahun Baru Cina semakin hampir, polis memberi amaran tentang lonjakan yang dijangkakan dalam penipuan e-dagang sedang lebih ramai orang membeli barangan perayaan atau pergi bercuti.

Superintendan Polis Matthew Choo, penolong pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, SPF, menyatakan terdapat pelbagai jenis penipuan e-dagang.

Ini termasuk “pembayaran mudah tetapi tiada barang diterima dan pancingan data untuk butiran bank dan kad kredit anda yang membawa kepada urus niaga yang tidak dibenarkan, kepada penipuan berkaitan perisian hasad”, yang mungkin menyebabkan lebih banyak kerugian.

Bagi melindungi daripada penipuan, orang ramai harus mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga, kata Superintendan Polis Choo.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >