DARFUR: Di sebuah bandar kecil Tawila, di negeri Darfur Utara, Sudan, sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran setiap hari.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, puluhan ribu orang yang melarikan diri dari ibu kota Darfur Utara, El Fasher, telah mencari perlindungan di Tawila.
Keadaan itu menyebabkan satu-satunya klinik kesihatan di bandar itu tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
“Kami menjangka jumlah sebenar kanak-kanak yang mati akibat kebuluran lebih tinggi,” kata pegawai kesihatan pentadbiran awam Tawila, Cik Aisha Hussien Yagoub.
“Ramai orang yang berpindah dari El Fasher tinggal jauh dari klinik dan tidak mampu ke sana,” lapor The Guardian.
Selain kebuluran, penyakit seperti malaria, campak dan batuk turut menular dengan pantas.
Dalam dua minggu pertama Julai sahaja, 19 wanita dilaporkan meninggal dunia semasa melahirkan anak. Ramai lagi yang mati akibat kecederaan yang tidak dirawat.
Bandar El Fasher kini di bawah kepungan oleh kumpulan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) kumpulan paramilitari yang didapatkan dengan sekutu militia khusus untuk terlibat dalam perang saudara menentang tentera Sudan dan penyokongnya.
Tawila, yang juga pernah menjadi lokasi pertempuran sengit, menjadi tempat perlindungan terdekat bagi pelarian yang berjaya melarikan diri dari El Fasher.
Ramai pelarian tidak berjaya sampai ke Tawila, tewas dalam perjalanan yang sukar dan bahaya. Jalan-jalan yang mereka lalui dipenuhi kampung-kampung yang terbakar dan ancaman kumpulan bersenjata.
“Saya tinggalkan suami saya di El Fasher dan lari bersama anak saya,” kata Cik Hadeel Ibrahim, 25 tahun, yang anak perempuannya, Rital, berusia dua tahun,
Rital, kini dirawat di klinik kerana kekurangan zat makanan.
Keadaan di Tawila semakin buruk apabila bekalan makanan dan bantuan semakin berkurang.
“Tiada makanan di sini, jika bernasib baik, kita dapat makan sekali sehari,” kata seorang pelarian yang enggan memberikan namanya.
Klinik di Tawila kekurangan kelengkapan asas seperti pintu, tingkap, dan katil, yang musnah dalam pertempuran pada 2023.
Menurut Cik Aisha, jika bantuan kewangan tidak tiba, lebih ramai kanak-kanak dan ibu akan kehilangan nyawa.
Sementara itu, kebanyakan organisasi antarabangsa terpaksa meninggalkan El Fasher kerana keadaan keselamatan yang tidak terjamin.
Hanya pasukan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) yang masih bertahan di kawasan tersebut.
Bantuan makanan dan perubatan yang dihantar juga sering terhenti akibat sekatan kumpulan bersenjata dan keadaan jalan yang buruk.
Situasi di Darfur Utara itu disifatkan oleh Timbalan Penyelaras Kemanusiaan PBB, Encik Toby Harward, sebagai satu bencana kemanusiaan yang semakin memburuk setiap hari.
“Ratusan ribu orang yang tidak bersalah kini berada dalam bahaya besar. Seluruh kawasan ini seperti neraka di bumi,” kata Encik Harward.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg