SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

10 militan terbunuh dalam operasi keselamatan Filipina di Marawi

10 militan terbunuh dalam operasi keselamatan Filipina di Marawi

Apr 17, 2026 | 4:12 PM

10 militan terbunuh dalam operasi keselamatan Filipina di Marawi

(FOTO FAIL) Kira-kira 1,000 militan, pengikut kumpulan ISIS, menyerbu bandar Marawi di pulau selatan Filipina, Mindanao, yang bergolak, pada 23 Mei 2017.
Pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan Filipina berlanjutan selama lima bulan, dan apabila ia berakhir, kira-kira satu perempat bandar Marawi musnah menjadi debu dan runtuhan.
Menara masjid terbesar di Marawi turut terjejas, di kawasan yang sebelum ini merupakan pusat komersial yang berkembang pesat.
(FOTO FAIL) Kira-kira 1,000 militan, pengikut kumpulan ISIS, menyerbu bandar Marawi di pulau selatan Filipina, Mindanao, yang bergolak, pada 23 Mei 2017. Pertempuran antara militan dan pasukan keselamatan Filipina berlanjutan selama lima bulan, dan apabila ia berakhir, kira-kira satu perempat bandar Marawi musnah menjadi debu dan runtuhan. Menara masjid terbesar di Marawi turut terjejas, di kawasan yang sebelum ini merupakan pusat komersial yang berkembang pesat. - Foto The Straits Times

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina menembak mati 10 individu yang disyaki militan selepas mereka menentang cubaan penahanan dalam satu operasi di selatan negara itu, menurut pihak polis.

Insiden tembak-menembak yang berlangsung kira-kira sejam itu berlaku di kawasan majoriti Muslim di selatan Filipina, lokasi yang masih menjadi tempat operasi saki-baki kumpulan bersenjata yang dipengaruhi oleh ideologi Daesh.

Menurut laporan polis serantau, antara yang terbunuh ialah Amerol Mangoranca, ketua kumpulan bersenjata Maute-Dawlah Islamiya.

Pasukan keselamatan tiba berhampiran bandar Marantao sebelum subuh bagi melaksanakan waran tangkap terhadap Mangoranca dan kumpulannya atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan penculikan.

Namun, operasi tersebut bertukar menjadi pertempuran apabila kumpulan itu bertindak melawan.

“Pasukan kami diserang ketika cuba menjalankan tangkapan, menyebabkan berlakunya pertempuran selama kira-kira sejam,” menurut laporan polis.

Kumpulan tersebut turut melibatkan isteri Mangoranca serta tiga wanita lain dalam pertempuran itu.

Dalam laporan berasingan, pihak tentera memaklumkan seorang bayi ditemui selamat di lokasi kejadian selepas operasi berakhir. “Bayi itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” menurut kenyataan tentera.

Tiada anggota keselamatan dilaporkan terkorban, dan pihak berkuasa turut merampas senjata api serta bahan letupan dari lokasi kejadian.

Menurut Divisyen Infantri Pertama Tentera Filipina, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam satu serangan pada Januari lalu yang mengorbankan empat anggota tentera dan mencederakan seorang lagi.

Komander unit tersebut, Yegor Barroquillo, berkata kumpulan itu mempunyai kaitan dengan rangkaian militan yang lebih besar. “Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian yang sama bertanggungjawab terhadap pengepungan Marawi dan keganasan berpanjangan di rantau ini,” katanya.

Pada Mei 2017, ratusan pejuang Muslim Filipina bersama militan asing menawan bandar Marawi di Mindanao dengan tujuan menjadikannya pusat pemerintahan “khalifah” Asia Tenggara berdasarkan ideologi ekstrem.

Pengepungan tersebut berakhir selepas lima bulan operasi ketenteraan, mengorbankan lebih 1,000 nyawa serta menghapuskan ramai pemimpin kanan kumpulan militan.

Walaupun operasi besar itu berjaya menumpaskan sebahagian besar kumpulan tersebut, kejadian terbaru ini menunjukkan ancaman keselamatan di selatan Filipina masih belum berakhir sepenuhnya. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg