JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang bersiap sedia membina rumah di lokasi lebih selamat bagi penduduk yang terkesan akibat letusan berterusan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT).
Menteri Perumahan dan Pemukiman, Encik Maruarar Sirait, mengumumkan dalam sidang media di Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) bahawa 1,100 rumah bakal dibina segera untuk penduduk yang terpaksa dipindahkan dari kawasan berbahaya itu.
“Ramai daripada kalangan mereka yang akan dipindahkan adalah petani. Oleh itu, kami sedang mempertimbangkan lokasi yang tidak terlalu jauh daripada sumber pendapatan mereka,” jelas Encik Maruarar.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, bagi mempertingkatkan langkah tindak balas bencana yang sedang berjalan.
Ketua BNPB, Encik Suharyanto, menambah bahawa antara lokasi yang sedang dikaji adalah dua kawasan di kampung Konga dan Kobasoma, di daerah Titehena, masing-masing seluas 50 hektar.
Pemerintah merancang memindahkan penduduk yang tinggal dalam radius tujuh kilometer dari kawah gunung tersebut secara kekal, setelah letusan besar awal November, memaksa ribuan penduduk untuk mengungsi.
“Kami mengesyorkan pembinaan sebanyak 2,700 rumah baru bagi keluarga yang terjejas,” ujar Encik Suharyanto.
Sejak letusan besar pada 3 November, kegiatan seismik dan letusan kecil terus berlaku, menyebabkan lebih 16,000 penduduk berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan sembilan orang disahkan terkorban dan 31 lagi mengalami cedera parah.
Kebanyakan mangsa terkena muntahan batuan gunung berapi dari kawah Lewotobi Laki-laki.
Lebih 11,500 penduduk kini berlindung di pusat penempatan sementara yang dibina oleh pemerintah atau diatur sendiri penduduk di Flores Timur dan daerah berdekatan, Sikka.
BNPB juga sedang mempertimbangkan memindahkan dua pusat perlindungan di Talibura, Sikka ke kawasan yang lebih selamat kerana kedua-duanya kini turut terdedah kepada hujan abu walaupun terletak sekitar 12 hingga 15 kilometer dari kawah.
“Penempatan sementara di kampung Hikong dan Kringa telah terjejas akibat muntahan abu, walaupun berada jauh dari zon bahaya.
“Kami mempertimbangkan untuk memindahkan mereka ke sebuah kampung di Flores Timur,” jelas Encik Lukmansyah, Timbalan BNPB untuk respons kecemasan.
Pada 12 November, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) merekodkan sekurang-kurangnya sedozen letusan dengan salah satunya menghamburkan abu gunung setinggi 9,000 meter.
Radius zon bahaya kini diperluas kepada 9 kilometer dari puncak di sektor barat daya dan barat laut sebagai langkah keselamatan tambahan.
Dalam usaha menggalakkan keselamatan, agensi vulkanologi menasihatkan penduduk agar bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan aliran lahar akibat hujan di sungai yang berpunca dari lereng gunung tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg