KABAL (Pakistan): Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh termasuk lapan anggota polis, manakala lebih 20 lagi cedera selepas seorang pengebom nekad meletupkan bahan letupan berhampiran sebuah balai polis ketika ratusan penduduk menyertai perhimpunan aman menuntut keselamatan di daerah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.

Letupan itu berlaku di persimpangan utama di bandar Kabal ketika peserta perhimpunan melaungkan slogan antikumpulan militan dan menggesa pemerintah mengambil tindakan lebih tegas bagi membendung kebangkitan semula keganasan di wilayah berkenaan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana bertukar menjadi huru-hara sejurus letupan berlaku apabila orang ramai bertempiaran melarikan diri untuk menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Polis Khyber Pakhtunkhwa, Encik Fida Hussain, berkata sekurang-kurangnya 13 mangsa yang maut dikenal pasti, termasuk lapan anggota polis, manakala satu lagi mayat yang dipercayai pengebom nekad turut ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai 22 lagi mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Saidu Sharif, dengan beberapa daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Swat, Encik Umar Khan, pengebom itu dipercayai cuba memasuki balai polis di persimpangan berkenaan sebelum dihalang anggota keselamatan yang mahu menjalankan pemeriksaan.

“Suspek kemudian meletupkan bahan letupan yang dipakainya berhampiran pintu masuk balai polis, menyebabkan ledakan kuat yang mengenai orang ramai yang berkumpul berhampiran,” katanya.

Sehingga kini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Khyber Pakhtunkhwa, Encik Bilal Faizi, berkata letupan berlaku ketika peserta sedang menamatkan perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan masyarakat sivil bagi mendesak pemerintah memulihkan keamanan di Swat.

Katanya, mangsa terdiri daripada peserta yang sedang melaungkan slogan menolak keganasan dan menuntut tindakan lebih tegas terhadap kumpulan militan.

Saksi memberitahu Associated Press bahawa beberapa pemidato sebelum kejadian menegaskan keselamatan rakyat adalah tanggungjawab pemerintah serta mengkritik pihak berkuasa kerana gagal bertindak tegas terhadap kumpulan bersenjata yang kembali aktif di kawasan pergunungan sekitar Swat.

Mereka berkata penduduk sudah lama hidup dalam ketakutan akibat keganasan yang pernah memusnahkan kehidupan di lembah berkenaan.

“Kami sudah menyaksikan pertumpahan darah selama bertahun-tahun. Kami tidak mahu satu lagi generasi menjadi balu dan anak yatim,” kata seorang penceramah, seperti dipetik akhbar Dawn.

Perhimpunan itu diadakan khusus bagi membantah peningkatan semula serangan kumpulan militan di Swat, yang pernah menjadi kubu kuat Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) sebelum kumpulan itu diusir melalui operasi ketenteraan besar-besaran pada 2009.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serangan bersenjata kembali meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk bahawa wilayah itu bakal kembali dilanda konflik.

Serangan di Swat berlaku ketika wilayah Khyber Pakhtunkhwa berdepan peningkatan mendadak keganasan.

Dalam satu lagi kejadian di ibu negeri wilayah itu, Peshawar, empat anggota polis cedera akibat letupan bom buatan sendiri.

Polis kemudian mengesahkan serangan di Peshawar didalangi TTP, walaupun kumpulan itu belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bunuh diri di Swat.

Tiga hari sebelum kejadian di Swat, seramai 11 anggota polis terbunuh selepas dron yang membawa bahan letupan menyerang sebuah sekatan jalan raya di daerah Hangu.

Pada penghujung Julai pula, serangan bom kereta di daerah Tank mengorbankan 27 anggota tentera, dengan TTP mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Menurut Institut Kajian Konflik dan Keselamatan Pakistan, sebanyak 154 kematian berkaitan keganasan direkodkan di Khyber Pakhtunkhwa sepanjang Julai, lebih dua kali ganda berbanding bulan sebelumnya.

Data tentera Pakistan pula menunjukkan sekurang-kurangnya 819 anggota pasukan keselamatan dan orang awam terbunuh akibat keganasan serta operasi keselamatan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, dan Perdana Menteri, Encik Shehbaz Sharif, mengutuk keras serangan itu serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Dalam kenyataan berasingan, kedua-dua pemimpin mengarahkan pihak berkuasa memastikan semua mangsa yang cedera menerima rawatan terbaik.

Mereka turut menegaskan perjuangan Pakistan menentang keganasan akan diteruskan sehingga ancaman itu dihapuskan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri, Encik Mohsin Naqvi, turut mengecam serangan itu sambil menyifatkannya sebagai tindakan kejam yang menyasarkan orang awam yang berhimpun secara aman.

Pasukan keselamatan kini mengepung lokasi kejadian dan melancarkan operasi memburu pihak yang dipercayai terbabit, selain membuka siasatan bagi mengenal pasti rangkaian yang merancang serangan itu.

Pakistan sejak sekian lama menuduh kumpulan militan beroperasi dari wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan rentas sempadan, namun dakwaan itu berulang kali dinafikan pemerintah Taliban di Kabul.

Pertikaian itu terus menjejaskan hubungan kedua-dua negara, termasuk selepas Pakistan melancarkan beberapa serangan udara ke wilayah Afghanistan awal tahun ini yang menurut Kabul dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengorbankan puluhan orang awam. - Agensi berita