ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 11 anggota tentera Pakistan, termasuk dua pegawai kanan, terbunuh dalam serangan hendap militan ke atas konvoi tentera berhampiran sempadan Afghanistan pada 8 Oktober, menurut sumber keselamatan.
Lima pegawai keselamatan memberitahu Reuters bahawa serangan berlaku di daerah Kurram, barat laut Pakistan, apabila konvoi pasukan paramilitari diserang bom tepi jalan sebelum sekumpulan besar militan melepaskan tembakan bertubi-tubi.
“Serangan ini sangat terancang. Bom diletakkan terlebih dahulu untuk menghentikan konvoi, kemudian mereka menyerang dengan senjata api dari pelbagai arah,” kata seorang pegawai keselamatan yang enggan namanya disiarkan.
Kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) segera mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Dalam kenyataan kepada wartawan Reuters, jurucakap TTP berkata pasukan mereka menyerang konvoi tentera dan berjaya “menumpaskan beberapa anggota musuh.”
Tentera Pakistan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu. Namun, serangan ini menambah tekanan terhadap keselamatan negara yang berdepan peningkatan keganasan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
TTP, yang mahu menggulingkan pemerintah Pakistan dan menggantikannya dengan pemerintahan berasaskan fahaman Islam radikal mereka, dilaporkan semakin giat melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan sejak beberapa bulan lalu.
Pihak berkuasa Islamabad menuduh militan TTP menggunakan Afghanistan sebagai tempat latihan dan perancangan serangan, namun dakwaan itu berulang kali dinafikan oleh pemerintahan Taliban di Kabul.
“Ancaman dari sempadan tidak boleh dipandang ringan. Kita mesti memperkukuh kawalan bagi melindungi anggota keselamatan,” kata seorang lagi pegawai kanan tentera Pakistan.
Serangan terbaru ini dijangka meningkatkan ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan serta menimbulkan kebimbangan keselamatan di rantau tersebut, yang sedia rapuh akibat kehadiran pelbagai kumpulan bersenjata. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg