Topik diikuti
Pergi ke BHku14,000 jemaah umrah terjejas, lapan hilang susulan letusan Anak Krakatau
Anak Krakatau kembali meletus, pencarian lima wartawan diteruskan
14,000 jemaah umrah terjejas, lapan hilang susulan letusan Anak Krakatau
JAKARTA: Sekitar 14,000 jemaah umrah Indonesia terjejas selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat abu Gunung Anak Krakatau, ketika operasi mencari lapan orang termasuk lima wartawan yang hilang semasa membuat liputan letusan gunung berapi itu diteruskan pada 9 September.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera kembali meletus awal 9 September, selepas beberapa siri letusan sejak hujung minggu lalu mengganggu ruang udara dan menyebabkan beberapa lapangan terbang ditutup, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Menurut anggaran pemerintah, sekitar 14,000 jemaah umrah yang sepatutnya berangkat ke Arab Saudi antara 5 dengan 7 September terjejas akibat pembatalan penerbangan.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata sebahagian jemaah telah pulang ke rumah, manakala yang lain ditempatkan sementara di asrama haji di Tangerang sebelum kembali ke daerah masing-masing.
Beliau berkata penerbangan jemaah boleh dijadualkan semula selepas Soekarno-Hatta kembali beroperasi.
“Lapangan Terbang Soekarno-Hatta telah kembali beroperasi, jadi jemaah seharusnya boleh berangkat ke Arab Saudi,” katanya pada 8 September.
Pemerintah turut meminta syarikat pengendali umrah dan syarikat penerbangan supaya mengatur penerbangan baru bagi jemaah yang terjejas secepat mungkin.
Encik Dahnil memberi jaminan jemaah tidak perlu membayar kos tambahan untuk menjadualkan semula perjalanan mereka.
Kementerian Haji dan Umrah turut menempatkan sebuah pasukan di Arab Saudi bagi memastikan jemaah Indonesia yang sudah berada di negara itu mempunyai tiket penerbangan pulang.
Setakat ini, pemerintah tidak menerima laporan mengenai jemaah Indonesia yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Arab Saudi akibat gangguan penerbangan.
Soekarno-Hatta kembali beroperasi sejak awal 8 September.
Menteri Pengangkutan, Encik Dudy Purwagandhi, bagaimanapun berkata operasi memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih sepenuhnya kerana pihak berkuasa dan syarikat penerbangan perlu memastikan pesawat serta kemudahan berkaitan bebas daripada abu gunung berapi.
Gangguan itu berlaku selepas Anak Krakatau memasuki fasa letusan berterusan selama kira-kira 25 jam, bermula pada 11.07 malam 4 September sebelum reda sejurus selepas tengah malam 6 September.
Aktiviti gunung berapi itu bagaimanapun berterusan dengan tiga letusan direkodkan pada 8 September sebelum ia kembali meletus pada 12.47 pagi 9 September.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) berkata letusan terbaru berlangsung selama 28 saat dengan amplitud seismik maksimum 51 milimeter. Ketinggian kepulan letusan tidak dapat diperhatikan ketika itu.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pula berkata analisis imej satelit Himawari-9 pada 7 pagi menunjukkan abu gunung berapi mencapai ketinggian sehingga 7,000 kaki dan bergerak ke arah barat laut, meliputi sebahagian Teluk Lampung.
Anak Krakatau kekal pada Tahap III, tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia, dengan pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan letusan susulan masih tinggi.
Dalam perkembangan berasingan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi mencari sebuah bot laju yang membawa lapan orang selepas ia dilaporkan terputus hubungan di perairan Selat Sunda, Pandeglang, Banten.
Mereka terdiri daripada lima wartawan, dua kru bot dan seorang pemandu.
Kumpulan itu bertolak menaiki bot laju pada petang 7 September untuk membuat liputan letusan Anak Krakatau, tetapi tidak kembali dan pemilik bot tidak menerima sebarang maklumat daripada kru.
Lima wartawan berkenaan bertugas dengan media tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi berita Antara, agensi berita Anadolu dari Turkey dan laman berita iNews.
Seorang daripada wartawan itu sempat menghubungi rakannya dan berkongsi lokasi pada kira-kira 3 petang 7 September sebelum hubungan terputus.
Antara mengesahkan jurugambarnya, Encik Muhammad Bagus Khoirunas, merupakan antara mereka yang berada di dalam bot tersebut.
Agensi itu berkata operasi mencari berdepan kesukaran akibat ombak tinggi dan jarak penglihatan yang terhad.
Ketua Subseksyen Operasi dan Siaga Basarnas Banten, Encik Rizky Dwianto, berkata operasi hari kedua bermula pada 7 pagi 9 September dengan pasukan dibahagikan kepada empat unit mencari dan menyelamat bagi memperluas kawasan pencarian.
“Dalam operasi pencarian hari kedua, pasukan SAR gabungan dibahagikan kepada empat unit bagi memperluas kawasan pencarian,” katanya.
Operasi itu melibatkan Basarnas, polis serta syarikat pemilik bot.
Aktiviti gunung berapi turut berlaku di beberapa kawasan lain di Indonesia pada 9 September.
PVMBG melaporkan Gunung Semeru di Jawa Timur meletus dua kali, manakala Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur merekodkan tiga letusan dengan abu setinggi antara 400 dengan 600 meter dari puncak.
Gunung Ibu di Maluku Utara pula meletus dua kali dengan kepulan abu mencapai sehingga 600 meter.
BMKG menggesa penduduk, khususnya di selatan Lampung, supaya terus berwaspada dan mengikuti maklumat rasmi pihak berkuasa ketika aktiviti Anak Krakatau masih berterusan. - Agensi berita
