Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

143 titik panas dikesan di Kalimantan, tertinggi di Indonesia

Jul 28, 2025 | 1:52 PM
jerebu, kebakaran, indonesia
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merekodkan peningkatan jumlah titik panas di beberapa bahagian Indonesia dengan imej satelit menunjukkan 143 titik panas tertinggi dikesan di Kalimantan. - Foto TANGKAP LAYAR DARIPADA INTERNET

JAKARTA: Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merekodkan peningkatan jumlah titik panas di beberapa bahagian Indonesia setakat 27 Julai dengan imej satelit menunjukkan 143 titik panas dikesan di Kalimantan.

Bilangan titik panas itu adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan wilayah lain di Indonesia.

Daripada jumlah tersebut, 10 titik panas di Kalimantan termasuk dalam kategori tinggi – tanda potensi kebakaran hutan dan tanah yang serius.

Manakala 47 titik panas termasuk dalam kategori sederhana dan 86 yang lain dalam kategori rendah.

Sumatera yang juga dilanda masalah kebakaran hutan dan tanah gambut, mencatatkan sejumlah 53 titik panas.

Daripada jumlah itu, 28 adalah kategori rendah, 22 kategori sederhana dan tiga kategori tinggi.

Manakala di Jawa, 19 titik panas dikesan dalam kategori rendah.

Di wilayah Nusa Tenggara terdapat lima titik panas yang diketegorikan rendah dan enam kategori sederhana; dan satu kategori tinggi.

Manakala di Sulawesi enam titik panas kategori rendah; dan satu kategori sederhana.

Peta taburan titik panas tersebut menonjolkan potensi peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut, terutamanya di wilayah Kalimantan dan Sumatera.

“BMKG menggesa pemerintah tempatan dan orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah bagi mengelak bencana ekologi,” kata Timbalan Ketua Meteorologi BMKG, Encik Guswanto.

Beliau juga menyatakan bahawa data itu adalah hasil pemantauan rutin yang dikemas kini bagi menyokong usaha menangani bencana jerebu dan kebakaran hutan di Indonesia.

BMKG menggunakan data daripada berbilang satelit untuk memantau kawasan titik panas, yang merupakan penunjuk potensi kebakaran hutan.

Peningkatan kawasan panas, khususnya di Kalimantan, menunjukkan peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah tersebut.

Pada 24 Julai, media Indonesia melaporkan bahawa pihak berkuasa negara itu telah dapat mengurangkan secara mendadak titik panas kebakaran hutan dan tanah gambut di Riau – berkurang 116 setiap hari daripada sekitar 1,300 setiap hari pada awal Julai.

Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni yang bercakap selepas mesyuarat penyelarasan kawalan kebakaran di Balai Serindit Riau pada 23 Julai, telah memuji usaha bersama oleh pasukan darat dan udara sehingga membolehkan masalah tersebut dikawal.

“Ini mencerminkan kerja keras anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis, bomba, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), dan unit udara menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg