JAKARTA: Indonesia telah melaporkan penurunan mendadak titik panas kebakaran hutan dan tanah gambut di Riau – berkurang 116 setiap hari daripada sekitar 1,300 setiap hari awal Julai, kata Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni.
Bercakap selepas mesyuarat penyelarasan kawalan kebakaran di Balai Serindit Riau pada 23 Julai, Raja Juli memuji usaha bersama oleh pasukan darat dan udara sehingga membolehkan masalah tersebut dikawal.
“Ini mencerminkan kerja keras anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis, bomba, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), dan unit udara menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca,” kata beliau.
Pihak berkuasa telah mengerahkan penerbangan pengubahsuaian cuaca, helikopter untuk pengeboman air, dan pasukan darat untuk mengawal kebakaran seluas 229 hektar di wilayah Rokan Hulu dan Rokan Hilir.
Pada masa ini, dua helikopter tersedia untuk pengubahsuaian cuaca dan tiga bagi pengeboman air, dengan rancangan untuk meningkatkan operasi masing-masing kepada tiga dan lima helikopter dalam beberapa hari akan datang.
“Kami juga akan menggerakkan pasukan darat tambahan, khususnya di Rokan Hulu dan Rokan Hilir, untuk mengurangkan lagi titik panas,” tambah Raja Juli.
Beliau turut menggesa penduduk supaya mengelak pembukaan tanah dengan membakar, memberi amaran tentang kesan terhadap kesihatan dan ekonomi yang teruk akibat kebakaran besar-besaran.
“Ingat ketika Riau disesakkan dengan masalah jerebu, penerbangan dibatalkan, kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah, dan ramai yang mengalami jangkitan pernafasan,” katanya.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan bahawa jerebu dari kebakaran Riau telah melintasi Malaysia, dibawa oleh angin tenggara.
Imej satelit menunjukkan asap berarak ke utara dari Rokan Hilir.
Kebakaran hutan dan tanah gambut merupakan masalah yang berulang di Indonesia, sehingga merenggangkan hubungan dengan negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Kebakaran sering berlaku semasa musim kemarau, dengan asap kerap menyeberang sempadan, menyebabkan ketegangan diplomatik.
Pihak berkuasa Indonesia berkata mereka telah menahan 44 individu yang disyaki melakukan pembakaran hutan dan tanah gambut yang menyumbang kepada jerebu.
Pemerintah Indonesia telah berjanji untuk meneruskan penguatkuasaan undang-undang yang ketat sambil meningkatkan usaha memerangi kebakaran, yang sering dikaitkan dengan amalan pembersihan tanah oleh petani dan syarikat perladangan.
Pada 2023, Indonesia menafikan bertanggungjawab terhadap pencemaran jerebu yang menjejaskan Malaysia, walaupun terdapat asap rentas sempadan sebelum ini yang membawa kepada pergeseran diplomatik di rantau ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg