KATHMANDU: Jumlah mayat yang ditemukan susulan banjir besar Sungai Bhote Koshi di Nepal meningkat kepada 1,451 orang, sedang pihak berkuasa mempergiat analisis DNA untuk mengenal pasti mangsa dalam antara operasi forensik terbesar pernah dihadapi negara itu.

Polis Nepal berkata pada 21 September bahawa 4,655 orang masih dilaporkan hilang selepas bencana pada 26 Ogos, manakala 7,975 anggota polis dikerahkan bagi operasi mencari dan menyelamat, pengagihan bantuan serta pengurusan mayat.

Daripada jumlah mayat yang ditemukan, 236 adalah di Rasuwa, 203 di Nuwakot, 72 di Dhading, 367 di Chitwan, 79 di Gorkha, 38 di Tanahun, 232 di Nawalparasi Timur dan 222 di Nawalparasi Barat.

Dua lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Kathmandu, menjadikan jumlah keseluruhan 1,451 orang.

Banjir besar itu berlaku selepas runtuhan batu dan ais di kawasan pergunungan mencetuskan aliran air yang deras melalui Sungai Bhote Koshi dan Trishuli, memusnahkan kampung, jalan raya, jambatan serta kemudahan hidroelektrik.

Hampir sebulan selepas bencana, operasi kini semakin tertumpu kepada usaha menemukan mangsa yang masih hilang dan mengenal pasti mayat yang telah ditemukan.

Tugas itu menjadi rumit kerana banyak mayat mengalami pereputan atau kerosakan teruk akibat dihanyutkan arus deras dan tertimbus di bawah lumpur serta runtuhan.

Pihak berkuasa Nepal kini menggunakan kaedah pengecaman mangsa bencana antarabangsa, dengan DNA menjadi kaedah utama bagi menentukan identiti mangsa apabila pengecaman secara visual tidak lagi boleh dilakukan.

Setakat ini, sebanyak 3,283 sampel DNA telah dikumpulkan, merangkumi 1,286 daripada mangsa dan 1,997 daripada anggota keluarga mereka.

Sebanyak 1,292 mayat pula telah ditempatkan dalam kubur sementara selepas prosedur forensik dan pengambilan sampel DNA selesai.

Langkah itu membolehkan mayat dikenal pasti kemudian melalui padanan DNA dan diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian atau upacara terakhir.

Maklumat mengenai 1,362 mayat yang belum dikenal pasti turut dimuat naik ke laman web Polis Nepal bagi membantu keluarga dalam proses pengecaman.

Skala bencana itu memberi tekanan besar kepada kemudahan forensik Nepal.

Sebelum bencana, dua makmal utama negara itu, Makmal Sains Forensik Kebangsaan dan Makmal Sains Forensik Pusat Polis Nepal - tidak pernah mengendalikan lebih 1,500 sampel DNA dalam setahun.

Proses mengenal pasti mangsa banjir pula lebih rumit kerana DNA banyak diambil daripada tulang dan gigi yang lebih tahan berbanding darah atau tisu lembut.

Sampel tulang dan gigi perlu melalui proses khas yang boleh mengambil masa beberapa hari.

Sampel yang rosak atau tidak disimpan dengan baik mungkin perlu diuji semula.

Nepal menerima bantuan antarabangsa bagi mempercepat proses tersebut.

Pasukan forensik, peralatan dan kit ujian dihantar oleh beberapa negara termasuk India, China, Korea Selatan, Jepun dan Singapura.

Kementerian Luar Nepal sebelum ini mengesahkan pasukan forensik dari India, China, Singapura dan Korea Selatan menyertai pihak berkuasa tempatan dalam usaha mengumpulkan dan menganalisis DNA mangsa.

Dua pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura turut membantu pemeriksaan bedah siasat di Hospital Pengajar Universiti Tribhuvan di Kathmandu.

Polis Singapura pula mendapatkan sampel DNA daripada waris sembilan warga Singapura yang dilaporkan hilang dan berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa Nepal bagi membantu proses pengecaman.

Selain Singapura, India menghantar enam pasukan forensik bersama peralatan makmal dan kit DNA, manakala pakar Korea Selatan membawa sistem DNA pantas yang dapat menghasilkan profil DNA dalam tempoh lebih singkat.

Cabaran lebih besar ialah kemungkinan sesetengah mangsa terperangkap jauh di bawah lumpur dan runtuhan atau jasad mereka terpisah akibat kekuatan arus.

Reuters sebelum ini melaporkan operasi mencari mangsa berdepan kesukaran akibat bentuk muka bumi bergunung-ganang, timbunan runtuhan dan kerosakan besar pada prasarana.

Dron, helikopter dan pasukan penyelamat khusus digunakan dalam operasi itu.

Jumlah orang hilang turut berubah sepanjang operasi apabila nama disahkan, mangsa ditemukan dan laporan kehilangan dikemas kini.

Pada 16 September, pihak berkuasa melaporkan sekitar 5,200 orang masih hilang, sebelum Polis Nepal memberikan angka terbaru 4,655 orang pada 21 September.

Seramai 1,342 mangsa banjir pula masih ditempatkan di pusat perlindungan sementara di beberapa daerah.
Walaupun hampir sebulan berlalu sejak bencana, operasi mencari mangsa belum berakhir.

Keutamaan Nepal kini bukan sahaja menemukan mereka yang masih hilang, tetapi memastikan sebanyak mungkin mayat dapat dikenal pasti secara saintifik supaya keluarga yang telah menunggu selama berminggu-minggu akhirnya mendapat kepastian mengenai nasib anggota keluarga mereka. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti