Lebih $200,000 berjaya dikumpulkan oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan buat masyarakat yang terjejas akibat banjir di Nepal.

Jumlah itu termasuk lebih $70,000 yang dikumpulkan oleh beberapa pertubuhan dan perniagaan India Islam, serta $50,000 yang diikrarkan oleh RLAF pada permulaan kempen tersebut.

Kempen yang berlangsung dari 1 hingga 14 September itu mendapat sokongan padu daripada orang ramai, badan masyarakat, dan pihak perniagaan, kata RLAF dalam satu kenyataan pada 16 September.

“Kami amat tersentuh dengan sifat pemurah yang luar biasa yang ditunjukkan oleh masyarakat kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid.

“Melihat individu, perniagaan, dan pertubuhan bersatu padu mengumpulkan $200,000 merupakan satu manifestasi yang hebat bagi semangat belas ihsan dan perpaduan.

“Setiap sumbangan mencerminkan hasrat kita bersama untuk membawa sedikit kelegaan dan harapan kepada keluarga yang terjejas akibat tragedi ini.”

RLAF telah menjalankan kempen tersebut susulan banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet pada 26 Ogos, yang memusnahkan bangunan dan menghanyutkan keseluruhan kampung.

Sekurang-kurangnya 1,386 orang terkorban di bahagian sempadan Nepal, manakala 5,130 orang masih dilaporkan hilang.

Di China, sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dan 519 orang hilang, termasuk ramai warga asing.

Seramai sembilan rakyat Singapura juga dilaporkan hilang susulan kejadian banjir tersebut.

Menyusuli kejadian tersebut, pemerintah telah memberikan pakej bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira $560,000 kepada Nepal.

Lebih $3 juta juga telah dikumpul oleh Palang Merah Singapura (SRC) bagi usaha bantuan banjir pada awal September.

Menurut RLAF, semua dana yang dikumpul melalui kempen RLAF yang berlangsung dari 1 hingga 14 September itu akan disalurkan melalui SRC.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), RLAF dan SRC mengesahkan sumbangan sebanyak $50,000 yang diikrarkan oleh RLAF telah dipindahkan kepada SRC pada 7 September.

Kira-kira 20 pertubuhan dan perniagaan, termasuk pertubuhan India Islam, juga telah menyumbang lebih $70,000 sepanjang tempoh kempen itu, kata RLAF.

Antaranya termasuk MES Group, Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), Warees Investments, Kayalpatnam Welfare Association, Amanath Co-op Ltd, Aastar, DMY Jewellers, dan Wee Guan Construction.

Satu majlis penyerahan cek, yang dihadiri oleh wakil pertubuhan berkenaan, telah diadakan di Masjid Abdul Gafoor pada 14 September dan disaksikan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast–Jurong West, Dr Hamid Razak.

Mengulas mengenai sokongan yang diberikan oleh pertubuhan itu, Dr Hamid berkata usaha yang dilakukan oleh masyarakat ini “mencerminkan sesuatu yang lebih besar mengenai Singapura”.

“Kita mungkin sebuah negara yang kecil, namun berkali-kali, masyarakat kita telah membuktikan bahawa keprihatinan dan sifat belas ihsan kita mampu menjangkau jauh melangkaui sempadan negara.

“Tanpa mengira kaum, agama atau kewarganegaraan, apabila ada insan yang menderita, kita bersatu padu untuk menghulurkan bantuan. Respons kolektif inilah yang menjadikan kita istimewa,” kata Dr Hamid.