Topik diikuti
Pergi ke BHku15 dipenjara hingga 260 tahun kerana terlibat serangan Easter Sri Lanka 2019
15 dipenjara hingga 260 tahun kerana terlibat serangan Easter Sri Lanka 2019
COLOMBO: Mahkamah Tinggi Sri Lanka menjatuhkan hukuman penjara antara 200 dengan 260 tahun ke atas 15 lelaki yang didapati bersalah terbabit dalam siri serangan bom bunuh diri pada Easter 2019, yang meragut lebih 260 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.
Keputusan pada 22 September itu menandakan berakhirnya perbicaraan hampir lima tahun dalam antara kes keganasan terbesar dan paling rumit pernah dikendalikan sistem kehakiman Sri Lanka.
Mahkamah Tinggi Tetap Colombo yang bersidang dengan panel tiga hakim mendapati 15 daripada 24 tertuduh bersalah atas pertuduhan berkaitan konspirasi serta membantu dan bersubahat dalam serangan pada 21 April 2019.
Seorang pesalah dijatuhi hukuman penjara 260 tahun, empat menerima hukuman 240 tahun, lima dihukum 220 tahun dan lima lagi dipenjara 200 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan semua harta alih dan tidak alih milik mereka dirampas pemerintah.
Sembilan tertuduh lain dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap mereka melampaui keraguan munasabah.
Seorang lagi tertuduh yang pada asalnya didakwa telah meninggal dunia ketika perbicaraan berlangsung.
Antara mereka yang disabitkan kesalahan ialah Mohamed Naufar Maulavi, yang dikenal pasti pihak pendakwaan sebagai antara tokoh utama rangkaian yang menyokong kumpulan pengebom bunuh diri.
Serangan terancang itu menyasarkan tiga gereja dan tiga hotel ketika penganut Kristian menyambut Easter pada 21 April 2019.
Letupan berlaku di Gereja St Sebastian di Negombo, Gereja St Anthony di Colombo dan Gereja Zion di Batticaloa, selain tiga hotel mewah di Colombo.
Lebih 260 orang terbunuh dan sekitar 500 yang lain cedera.
Mangsa termasuk warga Sri Lanka serta puluhan warga asing.
Serangan itu menjadi antara serangan keganasan paling buruk di negara Asia Selatan tersebut sejak perang saudara selama 26 tahun berakhir pada 2009.
Pihak berkuasa Sri Lanka mengaitkan serangan itu dengan kumpulan pelampau tempatan yang mendapat inspirasi daripada kumpulan pengganas ISIS.
Mereka yang melakukan serangan bom bunuh diri dalam letupan berkenaan.
Kes terhadap mereka yang dituduh membantu merancang dan menyokong serangan itu pula menjadi perbicaraan luar biasa dari segi skalanya.
Peguam Negara memfailkan sebanyak 23,270 pertuduhan, termasuk konspirasi, membantu dan bersubahat dalam serangan serta kesalahan berkaitan senjata dan bahan letupan. Seramai 2,309 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang prosiding.
Perbicaraan itu berlangsung hampir lima tahun sebelum proses mengambil keterangan berakhir pada 24 Ogos lalu.
Keputusan mahkamah disambut baik oleh anggota masyarakat Katolik dan keluarga mangsa yang sudah bertahun-tahun menuntut pertanggungjawaban atas serangan tersebut.
Paderi Katolik, Father Jude Fernando, berkata keputusan itu membawa rasa keadilan selepas penantian panjang.
“Akhirnya, kami mendapat keadilan. Sudah begitu lama untuk sampai ke tahap ini,” katanya kepada AFP.
Seorang mangsa yang terselamat, Cik Teresa Fernando, yang mengalami kecederaan di kepala dalam serangan itu, berkata beliau hadir di mahkamah bersama mangsa lain untuk menyaksikan keputusan tersebut.
“Kami datang hari ini sebagai mangsa serangan ini untuk mendapatkan keadilan,” katanya.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menamatkan semua persoalan berhubung tragedi Easter.
Siasatan berasingan terus memberi tumpuan kepada kegagalan pihak berkuasa bertindak terhadap amaran risikan sebelum serangan berlaku serta dakwaan lebih luas mengenai pihak lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan rangkaian di sebalik serangan tersebut.
Kegagalan keselamatan itu menjadi isu besar di Sri Lanka kerana pihak berkuasa dilaporkan menerima beberapa amaran sebelum serangan, termasuk maklumat mengenai kemungkinan serangan terhadap gereja.
Pada Julai lalu, bekas Ketua Polis, Encik Pujith Jayasundara, dan bekas Setiausaha Pertahanan, Encik Hemasiri Fernando, dijatuhi hukuman mati kerana gagal bertindak terhadap maklumat risikan yang memberi amaran mengenai kemungkinan serangan.
Sri Lanka bagaimanapun tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1976.
Siasatan lain turut membabitkan bekas ketua perisikan, Encik Suresh Sallay, berhubung dakwaan mengenai peranannya sebelum serangan.
Beliau menafikan dakwaan terhadapnya dan isu itu masih menjadi subjek siasatan, berasingan daripada sabitan terhadap 15 lelaki tersebut.
Serangan Easter 2019 bukan sahaja mengorbankan ratusan nyawa, malah memberi tamparan besar kepada Sri Lanka ketika negara itu sedang memulihkan ekonomi dan sektor pelancongannya selepas berakhirnya perang saudara.
Bagi keluarga mangsa, keputusan terbaru mahkamah merupakan satu langkah penting dalam usaha mendapatkan keadilan, walaupun persoalan mengenai kegagalan keselamatan dan kemungkinan rangkaian lebih luas di sebalik serangan masih belum terjawab sepenuhnya. - Agensi berita