15 maut, 28 hilang dalam nahas feri karam di selatan Filipina
15 maut, 28 hilang dalam nahas feri karam di selatan Filipina
MANILA: Sebuah feri yang membawa lebih 350 penumpang karam pada pagi 26 Januari di selatan Filipina, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 28 dilaporkan masih hilang, kata pengawal pantai.
Feri MV Trisha Kerstin 3 mengeluarkan isyarat kecemasan sekitar 1.50 pagi, sekitar empat jam selepas ia berlepas daripada Pelabuhan Bandar Zamboanga di hujung barat daya Mindanao, kata pengawal pantai dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya 316 orang setakat ini telah diselamatkan, kata komander pengawal pantai, Encik Romel Dua, sambil mengesahkan 15 disahkan mati dan 28 masih belum dikenal pasti.
“Sebuah pesawat pengawal pantai juga sedang dalam perjalanan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat. Tentera Laut dan Tentera Udara juga menghantar aset mereka,” kata Encik Dua, yang berpangkalan di selatan Mindanao.
Feri itu karam kira-kira lima kilometer di timur Pulau Baluk-Baluk, sebahagian daripada rangkaian pulau wilayah Basilan di luar semenanjung Zamboanga.
Pegawai kecemasan Basilan, Cik Ronalyn Perez, menyatakan bahawa penyelamat sedang bertungkus lumus menangani kemasukan mangsa yang terselamat secara tiba-tiba ke hospital.
“Cabaran di sini sebenarnya adalah bilangan pesakit yang datang. Kami kekurangan kakitangan pada masa ini,” kata Cik Perez, sambil menambah bahawa 18 orang telah dibawa ke sebuah hospital tempatan.
“Feri itu sedang belayar dari Bandar Zamboanga ke pulau Jolo apabila kejadian itu berlaku,” tambahnya.
Video yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina menunjukkan mangsa yang terselamat dikeluarkan daripada air dan menerima rawatan perubatan.
Mangsa yang terselamat boleh didengari menjerit meminta bantuan dalam kegelapan malam.
“Buat masa ini kami tidak boleh menyatakan sebab kejadian karam, tetapi kami diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi menentukan puncanya.
“Setakat ini, kami sedang memberi tumpuan kepada usaha menyelamat,” kata Encik Dua.
Mangsa yang terselamat dibawa ke stesen pengawal pantai di Bandar Zamboanga dan Isabela, tambahnya.
Dalam kenyataannya, pengawal pantai berkata feri itu tidak membawa muatan berlebihan.
Filipina yang mempunyai 116 juta penduduk, mempunyai sejarah panjang bencana yang melibatkan feri antara pulau yang beroperasi di perairannya.
Ramai yang bergantung kepada bot dan kapal yang murah dan dikawal selia dengan buruk untuk pengangkutan antara lebih 7,000 pulau di negara itu, walaupun terdapat kemalangan yang kerap berlaku.
Pada 2023, lebih daripada 30 orang terbunuh apabila kebakaran melanda sebuah feri di selatan Filipina. –AFP.

