JAKARTA: Sekurang-kurangnya lima orang maut dalam kejadian kebakaran feri di perairan Wilayah Sulawesi Utara, pada 20 Julai, menurut Pengawal Pantai negara itu, manakala lebih 200 penumpang lain berjaya diselamatkan kebanyakannya melompat ke laut untuk menyelamatkan diri daripada api yang marak.
Feri KM Barcelona 5 terbakar ketika berada di luar pesisir pulau Sulawesi, menurut Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla). Kejadian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas sekurang-kurangnya 19 orang maut apabila sebuah feri karam berhampiran pulau pelancongan popular, Bali.
“Lima orang dilaporkan maut, dua daripadanya masih belum dikenalpasti. Sementara itu, seramai 284 orang telah berjaya dipindahkan dengan selamat,” kata Bakamla dalam satu kenyataan.
Kebakaran bermula di bahagian belakang feri ketika dalam perjalanan menuju ke Manado, ibu kota wilayah Sulawesi Utara. Beberapa penumpang dilaporkan melompat ke laut dengan jaket keselamatan untuk menyelamatkan diri.
Nelayan tempatan turut membantu menyelamatkan mangsa dan membawa mereka ke pulau-pulau berhampiran. Mereka yang cedera telah dihantar ke pusat kesihatan terdekat, tambah Bakamla lagi.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Manado, Encik George Leo Mercy Randang, memberitahu AFP bahawa insiden berlaku kira-kira satu jam dari bandar peranginan Likupang, yang terletak di hujung utara Sulawesi.
Sebuah video yang dikeluarkan oleh agensi Manado menunjukkan kapal milik Bakamla menyembur air ke arah feri yang masih mengeluarkan asap hitam nipis.
“Keutamaan kami sekarang ialah menyelesaikan kerja-kerja menyelamat sebelum malam,” kata Encik George kepada AFP. Tiada punca kebakaran yang diumumkan setakat ini sama ada oleh Encik George mahupun Bakamla.
Insiden laut seperti ini sering berlaku di kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, antara lain disebabkan oleh kelemahan piawaian keselamatan atau cuaca buruk.
Insiden feri yang karam dalam perjalanan ke Bali baru-baru ini dikaitkan dengan cuaca buruk.
Pada Mac lalu, sebuah bot yang membawa 16 orang terbalik akibat ombak besar berhampiran Bali, mengakibatkan seorang wanita warga Australia maut dan sekurang-kurangnya seorang lagi cedera. Pada tahun 2018, lebih 150 orang lemas apabila sebuah feri tenggelam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera. — AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg