Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

16 jadi korban serangan Israel di sekolah Gaza

Jul 7, 2024 | 11:04 AM
Warga Palestin berkumpul di tapak serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang jadi tempat perlindungan mereka yang hilang tempat tinggal.
Warga Palestin berkumpul di tapak serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang jadi tempat perlindungan mereka yang hilang tempat tinggal. - Foto REUTERS

KAHIRAH/GAZA: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang melindungi keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza pada 6 Julai, kata kementerian kesihatan Palestin.

Namun serangan itu dianggap Israel disasarkan terhadap militan.

Kementerian Kesihatan berkata serangan ke atas sekolah di Al-Nuseirat membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan lebih 50 orang.

Tentera Israel berkata ia mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko ke atas orang awam sebelum ia menyasarkan lelaki bersenjata yang didakwa menggunakan kawasan itu sebagai tempat persembunyian untuk merancang dan melakukan serangan terhadap tentera.

Di tempat kejadian, Encik Ayman al-Atouneh berkata beliau melihat kanak-kanak di kalangan yang maut.

“Kami ke sini berlari untuk melihat kawasan sasaran, kami melihat cebisan mayat kanak-kanak, ini adalah taman permainan, ada trampolin di sini, ada set buaian, dan penjual,” katanya.

Encik Mahmoud Basal, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza, berkata dalam satu kenyataan bahawa jumlah kematian boleh meningkat kerana ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu bermakna tiada tempat yang selamat untuk keluarga yang meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan, katanya.

Al-Nuseirat, salah satu daripada lapan kem pelarian bersejarah di Semenanjung Gaza, adalah tapak pengeboman Israel yang dipertingkatkan pada 6 Julai.

Serangan udara sebelum ini ke atas sebuah rumah di kem itu membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan ramai yang lain, menurut pegawai perubatan.

Dalam kemas kini harian berkaitan mangsa yang terkorban dalam perang hampir sembilan bulan, kementerian kesihatan Gaza berkata serangan tentera Israel di seluruh wilayah itu membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu dan mencederakan 100 yang lain.

Antara yang terbunuh dalam serangan udara berasingan pada 6 Julai ialah lima wartawan tempatan, meningkatkan jumlah wartawan yang terkorban sejak 7 Oktober kepada 158 orang, menurut pejabat media pemerintah Gaza pimpinan Hamas.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata lebih 38,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel.

Kementerian kesihatan tidak membezakan antara pejuang dan bukan pejuang tetapi para pegawai berkata kebanyakan yang terkorban adalah orang awam.

Israel telah kehilangan 323 tentera di Gaza dan mengatakan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada rakyat Palestin yang terkorban adalah pejuang.

Israel melancarkan serangannya, bertujuan untuk menghapuskan kumpulan militan Islam Hamas, sebagai tindak balas kepada serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober di mana 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 yang lain dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg