Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel hantar delegasi sambung rundingan gencatan senjata

Jul 5, 2024 | 12:33 PM
Benjamin Netanyahu
Israel meneruskan operasi ketenteraan di Gaza di sebalik rancangan Perdana Menterinya, Encik Benjamin Netanyahu, untuk menghantar delegasi bagi menyambung semula rundingan gencatan senjata dengan Hamas. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pada 4 Julai bahawa beliau telah memutuskan untuk menghantar delegasi bagi menyambung semula rundingan yang terhenti mengenai perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas.

Sumber dalam pasukan perunding Israel dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata terdapat peluang baik untuk mencapai persetujuan selepas Hamas membuat cadangan yang disemak mengenai syarat perjanjian.

“Cadangan yang dikemukakan oleh Hamas adalah satu kejayaan yang sangat penting,” kata sumber itu.

Maklum balas Israel terhadap cadangan Hamas, yang dikemukakan melalui pengantara, adalah berbeza ketika perang berlaku hampir sembilan bulan lalu di Gaza.

Israel sebelum ini menyatakan syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.

Seorang pegawai Israel berkata, ketua agensi perisikan Mossad Israel akan mengetuai delegasi untuk menyertai rundingan itu.

Encik Netanyahu dijadualkan berbincang dengan pasukan perundingnya pada 4 Julai, sebelum membincangkan pembebasan tebusan dengan Kabinet keselamatannya.

Rumah Putih berkata Encik Biden dan Encik Netanyahu, dalam panggilan telefon, membincangkan respons yang diterima daripada Hamas mengenai kemungkinan mencapai perjanjian.

“Presiden mengalu-alukan keputusan perdana menteri untuk memberi kuasa kepada perundingnya untuk terlibat dengan pengantara Amerika, Qatar dan Mesir dalam usaha ke arah mencapai perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam panggilan telefon itu, Encik Netanyahu mengulangi pendiriannya bahawa Israel hanya akan menamatkan perangnya di Gaza apabila semua matlamatnya telah dicapai, kata pejabat Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Sumber dalam pasukan perunding Israel berkata: “Ada peluang sebenar untuk perjanjian dilaksanakan.”

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu terdapat risiko perjanjian boleh dihalang oleh “pertimbangan politik”.

Beberapa rakan sayap kanan dalam pakatan pemerintah Encik Netanyahu telah menyatakan mereka mungkin keluar daripada pemerintah jika perang berakhir sebelum Hamas dimusnahkan.

Pengunduran mereka daripada gabungan itu mungkin akan menamatkan jawatan Encik Netanyahu selaku perdana menteri.

Israel menerima maklum balas Hamas pada 3 Julai terhadap cadangan yang didedahkan kepada umum pada akhir Mei oleh Encik Biden termasuk pembebasan kira-kira 120 tebusan yang ditahan di Gaza dan gencatan senjata di kawasan Palestin.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha pengantaraan menyatakan bahawa Hamas telah menunjukkan fleksibiliti yang akan membolehkan perjanjian dipersetujui.

Hamas berkata sebarang perjanjian mesti menamatkan perang dan membawa pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.

Israel menegaskan ia hanya akan menerima gencatan senjata sementara sehingga Hamas dihapuskan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg