JALURAN GAZA: Tentera Israel telah melancarkan satu lagi serangan maut di utara Gaza meskipun mendakwa akan menyambung semula gencatan senjata yang kembali goyah akibat gelombang pengeboman pada malam sebelumnya.
Serangan udara terbaru Israel pada petang 29 Oktober berlaku di kawasan Beit Lahiya di Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, menurut Hospital al-Shifa.
Israel mendakwa serangan itu menyasarkan tapak penyimpanan senjata yang menimbulkan “ancaman segera” kepada tenteranya.
Serangan itu menambah lagi ketidakpastian kepada gencatan senjata rapuh Gaza, yang digoncang oleh episod pengeboman Israel yang paling sengit pada malam 28 Oktober sejak ia mula dilaksana pada 10 Oktober.
Berikutan laporan pembunuhan seorang askar Israel di Rafah selatan Gaza pada 28 Oktober, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan serangan balas ke atas Gaza.
Serangan itu mengorbankan 104 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas.
Israel mendakwa serangannya menyasarkan anggota kanan Hamas, membunuh berpuluh-puluh orang, dan kemudian berkata ia akan mula mematuhi gencatan senjata sekali lagi pada 29 Oktober.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menegaskan gencatan senjata “tidak terancam” di sebalik serangan terkini Israel itu.
Pengantara serantau Qatar meluahkan kekecewaan terhadap serangan tersebut, tetapi berkata pihaknya masih melihat fasa gencatan senjata seterusnya, termasuk pelucutan senjata Hamas.
Dalam pada itu, Encik Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyatakan pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya “pembunuhan akibat serangan udara Israel terhadap orang awam di Gaza” sehari sebelumnya.
Ketua Hak Asasi PBB, Encik Volker Turk, berkata laporan tentang begitu ramai yang terkorban adalah mengerikan dan menggesa semua pihak agar tidak membiarkan keamanan “terlepas daripada genggaman kita”, menyuarakan seruan yang sama daripada Britain, Jerman dan Kesatuan Eropah, supaya semua pihak komited semula kepada gencatan senjata.
Hamas menafikan anggotanya mempunyai “kaitan dengan kejadian tembakan di Rafah” yang membunuh seorang askar Israel dan mengesahkan semula komitmennya terhadap gencatan senjata.
Namun, ia akan menangguhkan pemindahan mayat tebusan Israel disebabkan oleh pelanggaran gencatan senjata terbaru Israel, sekali gus mendorong dakwaan Israel Hamas sedang menangguhkan proses penyerahan tebusan.
Hamas memberi amaran sebarang peningkatan serangan Israel akan “menghalang pencarian, penggalian dan penyerahan mayat tebusan”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg