BAITULMAKDIS: Israel menegaskan ia akan mengekalkan kawalan keselamatan di dalam Gaza walaupun telah menandatangani gencatan senjata yang bakal menyaksikan pengerahan pasukan keselamatan antarabangsa di wilayah Palestin itu.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu para menteri pada 26 Oktober Israel akan memutuskan sendiri di mana dan bila untuk menyerang musuh-musuhnya dan negara mana yang akan dibenarkan menghantar tentera untuk mengawasi gencatan senjata tersebut.
“Israel adalah sebuah negara merdeka. Kami akan mempertahankan diri dengan cara kami sendiri dan kami akan terus menentukan nasib kami.
“Kami tidak perlu kelulusan sesiapa pun... kami mengawal keselamatan kami sendiri,” ujar beliau.
Rakaman agensi berita, AFP, menunjukkan konvoi Mesir membawa penyelamat dan jentera berat ke Gaza untuk mempercepat pencarian mayat tebusan Israel yang mungkin tertimbus di bawah puing-puing bangunan yang runtuh.
Treler mengibarkan bendera Mesir dilihat mengangkut jentolak dan penggali mekanikal ke Gaza, disertai trak dalam perjalanan ke pejabat jawatankuasa bantuan Mesir yang berpangkalan di Al-Zawayda.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik Shosh Bedrosian, berkata Encik Netanyahu secara peribadi telah meluluskan ketibaan pasukan Mesir itu.
“Mereka hanyalah pasukan teknikal, dan tiada seorang pun daripada mereka adalah anggota tentera.
“Pasukan ini dibenarkan masuk melepasi kedudukan Garisan Kuning Pasukan Pertahanan Israel ke wilayah Gaza untuk menjalankan pencarian tebusan kami,” tambahnya.
Di bawah syarat gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, pasukan antarabangsa yang dijangka anggota dari negara-negara Arab atau Islam, sepatutnya menjaga keamanan selepas tentera Israel berundur dari Gaza.
Namun, Israel menentang sebarang peranan pesaing serantaunya, Turkey, dengan Encik Netanyahu, yang diserang oleh golongan tegar dalam gabungannya sendiri kerana bersetuju dengan gencatan senjata, mengambil pendirian tegas pada 26 Oktober ketika para menteri pemerintahnya bertemu di Baitulmakdis.
“Kami ingin menjelaskan bahawa Israel akan menentukan pasukan antarabangsa mana yang kami tidak boleh terima, katanya.
Agensi bantuan mengadu bahawa konvoi kemanusiaan masih tidak mempunyai akses yang mencukupi ke Gaza untuk mengurangkan masalah kebuluran di beberapa bahagian wilayah itu.
Israel telah menarik balik tenteranya di Gaza di sempadan yang dipanggil ‘Garisan Kuning’ tetapi masih mengawal lebih separuh wilayah itu; meluluskan setiap konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melintasi sempadannya; dan telah melakukan sekurang-kurangnya dua serangan sejak gencatan senjata.
Menurut persetujuan gencatan senjata yang diselaraskan Amerika, apabila tentera Israel berundur selepas tamatnya pertempuran ganas dua tahun menentang Hamas, sebuah pasukan antarabangsa yang dijangka terdiri terutama dari negara Arab atau Islam sepatutnya mengawal keselamatan Gaza.
Namun, Israel menentang sebarang peranan oleh negara pesaing di rantau itu, Turkey.
Encik Netanyahu, yang kini menghadapi kritikan pihak berhaluan kanan tegar dalam kerajaan gabungannya kerana bersetuju dengan gencatan senjata, mengambil pendirian tegas dalam mesyuarat Kabinet di Baitulmakdis pada 27 Oktober.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, yang menamatkan siri lawatan pegawai tinggi Washington ke Tel Aviv, turut menegaskan Israel akan menentukan pasukan antarabangsa mana yang tidak boleh diterima untuk menguatkuasakan gencatan senjata.
Jurucakap Israel, Encik Shosh Bedrosian berkata, Encik Netanyahu telah menyatakan ia akan dilakukan sama ada dengan cara mudah atau cara sukar, dan menegaskan Israel akan mempunyai kawalan keselamatan menyeluruh ke atas Jaluran Gaza.
“Gaza akan dilucutkan senjata dan Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam mentadbir rakyat Palestin,” katanya.
Menurut Encik Netanyahu, negara itu telah mengebom Gaza dengan 150 tan peluru pada 19 Oktober selepas dua askarnya terbunuh, dan melakukan serangan pada 25 Oktober yang menyasarkan seorang anggota kumpulan Palestin.
Amerika dan sekutunya pula menubuhkan pusat pemantauan gencatan senjata di selatan Israel, Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC), dan menghantar beberapa pegawai tinggi dari pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memantau pematuhan gencatan senjata itu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg