NEW DELHI: Dua pelaut warga India dilaporkan hilang selepas sebuah kapal komersial diserang dalam satu ‘serangan dron’ di perairan Oman pada 11 Oktober, kata Menteri Perkapalan New Delhi, Encik Sarbananda Sonowal.

Menurut Encik Sonowal, kapal tangki Petro Dolphin yang membawa 11 anak kapal warga India diserang di kawasan pelabuhan kapal di Sohar, utara Oman.

“Seramai sembilan anak kapal warga India berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat, manakala dua lagi warga India masih hilang,” katanya menerusi satu hantaran di platform X.

Operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan kini sedang giat dijalankan, tambah menteri berkenaan.

“Kami berhubung secara berterusan dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong usaha menyelamat yang sedang dijalankan, serta memastikan setiap tindakan yang diperlukan diambil untuk menjejak kakitangan kami yang hilang dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Encik Sonowal turut memberitahu bahawa sebuah lagi kapal tangki dengan bendera Kepulauan Marshall, Valthera, yang membawa 11 anak kapal warga India, telah diserang dengan bedilan di Selat Hormuz pada 11 Oktober.

Serangan itu mencetuskan kebakaran, namun kesemua anak kapal warga India yang terlibat dilaporkan selamat.

Tidak segera diketahui siapa yang bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Menurut Kementerian Perkapalan, India merupakan antara penyumbang terbesar golongan pelaut dalam sektor perkapalan dagang global, dengan lebih 320,000 pelaut aktif pada 2025.

Beberapa pelaut dari negara itu telah terkorban dalam serangan di Selat Hormuz sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global.

Ketidaktentuan berlanjutan di laluan berkenaan terus mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan tenaga dunia.

Pada 6 Oktober, Kementerian Luar India mengecam serangan ke atas sebuah kapal dengan bendera Panama yang diserang bedilan di luar pantai Oman ketika merentasi Selat Hormuz.

“Insiden serangan yang berterusan ke atas laluan perkapalan di rantau ini kekal menjadi punca kebimbangan yang amat serius,” kata kementerian itu.

“Kami mengulangi gesaan agar serangan seumpama ini dihentikan serta-merta demi menjamin keamanan dan kestabilan rantau ini.” – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti