Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran adakan rundingan berasingan dalam usaha terbaru tamatkan perang
Khamenei beri amaran tentera AS akan diusir dari Timur Tengah, pegawai Iran dilapor pesimis capai persetujuan dengan Washington
AS, Iran adakan rundingan berasingan dalam usaha terbaru tamatkan perang
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran menyambung usaha diplomatik bagi menamatkan peperangan yang berlarutan sejak tujuh bulan lalu, namun rundingan terbaru itu dibayangi amaran Pemimpin Agung Iran, Mojtaba Khamenei, bahawa tentera Amerika akhirnya akan dipaksa meninggalkan Timur Tengah.
Pegawai kedua-dua negara mengadakan perbincangan berasingan dengan pengantara pada 28 September, ketika Washington dan Teheran berusaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta mengganggu pasaran tenaga dunia.
Menurut seorang pegawai yang mengetahui perkembangan rundingan, perbincangan seterusnya dijangka tertumpu kepada versi pindaan cadangan damai tujuh hari yang dikemukakan Iran ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September lalu.
Bagaimanapun, ketika usaha diplomatik diteruskan, Khamenei mengeluarkan kenyataan keras yang memberi amaran bahawa kehadiran tentera asing di rantau itu tidak akan bertahan lama.
Dalam kenyataan bertulis yang disiarkan televisyen pemerintah Iran pada 28 September, beliau mendakwa musuh Iran kini tidak berani bergerak melangkaui Laut Arab selepas menerima serangan daripada pasukan Iran yang mempertahankan Selat Hormuz.
“Hari ini, selepas menerima serangan yang menyakitkan daripada pejuang berani dan pasukan yang mempertahankan Selat Hormuz, mereka tidak berani bergerak melangkaui Laut Arab,” katanya.
“Tidak lama lagi, Laut Arab juga akan bebas daripada kehadiran mereka,” tambahnya.
Walaupun Khamenei tidak menyebut Amerika secara langsung dalam kenyataan tersebut, amarannya dibuat ketika Iran masih berperang dengan Washington dan Israel.
Beliau juga belum muncul di khalayak ramai sejak peperangan di Timur Tengah bermula pada akhir Februari lalu.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, yang masih berada di New York, berkata Teheran sedang menunggu maklum balas rasmi Washington terhadap cadangan gencatan senjata serta syarat pembukaan semula Selat Hormuz.
“Jika Amerika mendakwa mereka mahukan persetujuan atau penyelesaian secara aman, kami sudah mengemukakan penyelesaian itu,” katanya, menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Presiden AS, Encik Donald Trump, turut mengesahkan bahawa pegawai Washington mengadakan perbincangan berasingan dengan pengantara pada 28 September, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Cadangan Iran menetapkan tempoh tujuh hari bagi melaksanakan beberapa langkah utama, termasuk menghentikan semua pertempuran di Iran dan Lebanon, membebaskan aset Iran bernilai berbilion dolar yang dibekukan serta menarik balik sekatan terhadap eksport minyaknya.
Teheran turut menuntut Amerika menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran sebelum membenarkan pembukaan semula Selat Hormuz, laluan strategik bagi penghantaran minyak antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, kedua-dua negara juga dijangka menyambung rundingan mengenai program nuklear Iran, termasuk isu uranium yang diperkaya pada tahap tinggi.
Trump sebelum ini mengumumkan pada 26 September bahawa beliau menolak cadangan Iran, dengan mendakwa Teheran mahu mencapai persetujuan segera kerana menghadapi tekanan ekonomi yang semakin berat.
Bagaimanapun, beliau memberitahu portal berita Axios pada 27 September bahawa rundingan lanjut dijangka diadakan minggu ini.
Pakistan dan Qatar memainkan peranan utama sebagai pengantara dalam usaha merapatkan perbezaan antara Washington dengan Teheran.
Menurut seorang pegawai Amerika, Washington bersedia mempertimbangkan pelonggaran sekatan ekonomi dan pembebasan aset Iran yang dibekukan sekiranya Tehran memberikan komitmen konkrit mengenai program nuklearnya.
Amerika turut menuntut jaminan jelas bahawa Iran akan membuka semula Selat Hormuz dan membenarkan laluan perkapalan antarabangsa dipulihkan.
Bagaimanapun, pegawai Iran dilaporkan pesimis bahawa persetujuan dapat dicapai sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November, berikutan ketidakpercayaan antara kedua-dua negara.
Kebimbangan itu berpunca daripada kegagalan dua perjanjian gencatan senjata terdahulu pada April dan Jun, yang masing-masing tidak bertahan lama.
Perjanjian pada Jun membolehkan lebih banyak kapal melalui Selat Hormuz, namun runtuh selepas kira-kira dua minggu sebelum kedua-dua pihak mencapai kemajuan bermakna ke arah perdamaian berkekalan.
Peperangan yang bermula pada akhir Februari susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran telah mengorbankan ribuan nyawa serta mengganggu pasaran tenaga dunia.
Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada pasaran minyak antarabangsa, dengan harga minyak mentah Brent melebihi AS$108 setong pada 28 September.- Agensi berita