Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

2 tokoh politik jadi tumpuan pemilihan Presiden Indonesia 2024

Sep 07, 2023 | 02:17 PM



JAKARTA: Encik Ganjar Pranowo dan Encik Ridwan Kamil menamatkan penggal jawatan gabenor masing-masing di Jawa Tengah dan Jawa Barat pada Selasa, ketika dua ahli politik popular itu kini bersedia memulakan laluan berbeza menuju pilihan raya umum Februari 2024.


Encik Ganjar, anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang pernah berkhidmat sebagai gabenor Jawa Tengah selama dua penggal penuh, akan bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.

Manakala Encik Ridwan, ahli politik Parti Golkar, pernah memberitahu bahawa beliau terbuka untuk bertanding semula sebagai gabenor Jawa Barat pada 2024 walaupun beliau adalah pilihan popular berdasarkan kajian awam bagi jawatan naib presiden.

Pilihan raya wilayah 2024 ditetapkan untuk diadakan pada November selepas pilihan raya presiden dan penggubal undang-undang pada Februari 2024.

Pada Ahad, kededua ‘bintang media sosial’ itu telah menyiarkan video di akaun mereka, mengosongkan pejabat masing-masing.

Kedua-duanya juga menyatakan rasa terima kasih kepada masyarakat setempat melalui kapsyen video tersebut atas sokongan yang diberikan selama mereka berkhidmat sebagai pemimpin wilayah.

Pada Selasa, Encik Ganjar mengadakan acara di pejabat gabenornya di Semarang, dihadiri ribuan penduduk yang berkumpul untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih, dan memohon maaf selama 10 tahun yang lalu, sekiranya saya tidak menjadi gabenor yang sempurna dan sekiranya masih banyak tugasan yang belum selesai,” kata Encik Ganjar semasa majlis itu, yang dilihat sebak semasa turun dari pentas.

Sama seperti Encik Ganjar, Encik Ridwan turut mengucapkan selamat tinggal dalam suasana yang penuh sebak semasa festival muzik yang diadakan pada Ahad di Bandung.

Dalam ucapannya, Encik Ridwan mengimbas masa sukar yang dilaluinya sejak lima tahun lalu sebagai gabenor Jawa Barat, sambil turut menyeru golongan muda di wilayah itu supaya tetap bersemangat semasa ketiadaannya.

“Walaupun menghadapi cabaran, saya telah memimpin Jawa Barat selama lima tahun lepas dengan semangat dan keazaman yang kuat. Jika seseorang seperti saya, yang hanya orang biasa, boleh menjadi pemimpin, saya pasti anda semua juga boleh melakukannya.”

Sementara itu, timbalan protokol, akhbar dan media Sekretariat Presiden, Encik Bey Machmudin, dilantik sebagai pemangku gabenor Jawa Barat pada Selasa.

Manakala mantan Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Nana Sudjana, yang kini pegawai di sekretariat agung Dewan Perwakilan Rakyat, memulakan tugas sementaranya di Jawa Tengah.

Sembilan daripada 10 gabenor sementara yang baru dilantik oleh Presiden Joko Widodo telah mengangkat sumpah di depan Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian pada Selasa.

Selepas tamat tempoh perkhidmatan mereka pada Selasa, Encik Ganjar dan Encik Ridwan kini dijangka menumpukan pada kempen mereka menjelang pilihan raya Februari.

“Ganjar berkemungkinan akan memperhebat kempennya di seluruh negara dengan PDI-P, dan ini adalah pentas politik yang lebih besar daripada menjadi gabenor Jawa Tengah. Kebolehpilihannya mungkin meningkat,” kata penganalisis politik, Encik Adi Prayitno pada Selasa.

Dalam tinjauan pendapat umum baru-baru ini yang melihat tiga penjuru antara Encik Ganjar, Encik Prabowo Subianto dan Encik Anies Baswedan, kelihatan Encik Ganjar dan Encik Prabowo kekal dalam persaingan teratas.

Namun Encik Ganjar sedikit mendahului pesaingnya Menteri Pertahanan, Encik Prabowo dari Parti Gerindra dalam beberapa tinjauan pendapat umum baru-baru ini.


Tinjauan awal Ogos dari Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), misalnya, mendapati Encik Ganjar kini mempunyai populariti meningkat sebanyak 5.1 peratusan mata daripada 30.8 peratus pada Julai kepada 35.9 peratus manakala Encik Prabowo menurun sebanyak 4.2 peratusan mata daripada 37.8 kepada 33.6 peratus.


Encik Anies kekal di tempat ketiga dengan 20.4 peratus dengan popularitinya merosot berbanding Disember 2022 yang mencapai 28.1 peratus.


Encik Ridwan pula masih belum mempunyai tiket untuk menyertai pemilihan tahun depan tetapi dijangka mampu beraksi cemerlang sebagai calon naib presiden dalam pelbagai tinjauan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >