Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

INDONESIA

Sokongan terhadap Gabenor Jawa Tengah semakin meningkat jelang pilihan raya presiden

Aug 24, 2023 | 12:15 PM



JAKARTA: Gabenor Jawa Tengah Encik Ganjar Pranowo terus mendahului pesaing terdekatnya yang berpotensi untuk pilihan raya presiden 2024.


Meskipun margin yang diperolehinya agak kecil, namun hasil tinjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa asas sokongannya telah berkembang secara berterusan sejak dua tahun lalu.

Firma penyelidikan Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) mendedahkan pada Rabu bahawa sokongan terhadap Encik Ganjar telah melonjak sebanyak 10.4 peratusan mata sejak tinjauan mengenai calon-calon pilihan raya presiden yang dijalankan sejak Mei 2021.

Tinjauan terbaru, yang dijalankan awal bulan ini, mendedahkan bahawa 35.9 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi Encik Ganjar dalam pilihan raya melibatkan tiga calon itu.

Setakat ini, Encik Ganjar mendahului 2.3 peratusan mata berbanding pesaing utamanya, Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto.

Selain itu, beliau mengekalkan kedudukan selesa mengatasi bekas Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, yang memperoleh 20.4 peratus undi.

Menurut SMRC, 10.1 peratus responden masih belum membuat keputusan.

Dalam tinjauan pendapat oleh firma penyelidikan yang sama pada Mei 2021, Encik Prabowo muncul sebagai pendahulu dengan sokongan 34.1 peratus, diikuti Encik Ganjar dengan 25.5 peratus dan Encik Anies dengan 23.5 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa Prabowo tidak dapat meraih sokongan pengundi yang belum membuat keputusan sejak dua tahun lalu. Ini meletakkan Encik Ganjar muncul sebagai pilihan dengan lonjakan 10 peratusan mata,” kata pengarah penyelidikan SMRC Encik Deni Irvani, dalam satu sesi sidang video.

Dalam tempoh ini, Encik Anies mengalami kehilangan sokongan terbesar sebanyak 3 peratusan mata.

Hasil tinjauan juga menunjukkan bahawa dalam pertandingan simulasi satu lawan satu, Encik Prabowo memperoleh kemenangan dengan 44.5 peratus undi berbanding Encik Ganjar 41.5 peratus,

Encik Deni berkata bahawa meskipun semangat para pengundi semakin meningkat menjelang pilihan raya presiden, namun terdapat penurunan ketara dalam bilangan pengundi yang belum membuat keputusan - daripada 16.9 peratus kepada 10.1 peratus.

Tinjauan yang dijalankan dari 31 Julai hingga 11 Ogos itu melibatkan 3,710 responden di semua wilayah di seluruh negara.

SMRC melaporkan telah menemu bual sekurang-kurangnya 100 responden di setiap wilayah.

Sekiranya tiada calon mencapai kemenangan ketara pada Februari 2024, pilihan raya presiden akan diteruskan ke pusingan kedua.

Memandangkan besarnya bilangan pengundi yang belum membuat keputusan dan ketiadaan calon gandingan yang diumumkan, persaingan tiga penjuru untuk jawatan tertinggi Indonesia itu masih terbuka luas. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >