Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

20 cedera termasuk 1 parah apabila lelaki lepaskan tembakan rambang di Sydney

Oct 6, 2025 | 1:07 PM
tembakan rambang, Sydney, Australia
Dinding kaca perhentian bas turut pecah dalam insiden tembakan rambang oleh seorang lelaki bersenjata di Taman Croydon di Sydney, Australia, pada 6 Oktober 2025. Seramai 20 orang cedera dalam kejadian itu. - Foto: EPA

SYDNEY: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa melepaskan sehingga 100 das tembakan ke arah sebatang jalan raya yang sibuk di Sydney, Australia, mencederakan 20 orang, dengan polis pada 6 Oktober menolak kaitan dengan keganasan atau aktiviti kumpulan kongsi gelap.

Polis bergegas pada petang 5 Oktober ke sebatang jalan raya di Inner West di bandar itu, selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki bersenjata yang dikatakan melepaskan tembakan secara rambang ke arah kereta dan polis yang lalu lalang.

Pekerja pejabat, Encik Joe Azar, berkata beliau sedang bekerja apabila mendengar apa yang dia sangkakan sebagai bunga api atau batu dilemparkan ke tingkap.

“Sesetengah cermin depan kereta berderai, kemudian kaca perhentian bas pecah. Ia menimbulkan suasana sangat panik. Semuanya berlaku begitu pantas, jadi saya tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku,” kata beliau kepada akhbar The Sydney Morning Herald.

Pemangku Superintendan Polis New South Wales, Encik Stephen Parry, menyatakan “antara 50 dengan 100 das tembakan telah dilepaskan di mana-mana”.

Sejumlah besar kontinjen polis mengerumuni kawasan itu dan menutup jalan raya, sebelum menyerbu sebuah unit di atas sebuah bangunan perniagaan dan menahan seorang lelaki berusia 60 tahun.

Mereka merampas dua senapang dari tempat kejadian. Suspek telah dibawa ke hospital dan dirawat kerana kecederaan yang dialami semasa penahanannya.

Belum ada pertuduhan dikenakan terhadap lelaki bersenjata itu.

Seorang lelaki dikejarkan ke hospital dengan luka terkena tembakan berikutan kejadian itu dan berada dalam keadaan “serius”, kata polis.

Seramai 19 orang lagi dirawat kerana terkena serpihan atau kecederaan akibat kaca pecah, dengan beberapa daripada mereka dibawa ke hospital.

Pesuruhjaya Polis New South Wales, Encik Mal Lanyon, menyifatkan kes tembakan itu sebagai “serius dan menakutkan”.

Motif lelaki bersenjata itu tidak jelas tetapi “tiada kaitan dengan aktiviti keganasan atau melibatkan kumpulan samseng”, katanya kepada stesen radio tempatan 2GB.

Polis masih giat menjalankan siasatan.

Larangan ke atas senjata automatik dan separa automatik telah dilaksanakan sejak 1996 apabila seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang di Port Arthur, Tasmania.

Pada Ogos, lelaki bersenjata Dezi Freeman melarikan diri di semak selepas dituduh membunuh dua pegawai polis. Dia kekal bebas.

Pada 2022 pula, enam orang termasuk dua pegawai polis terbunuh dalam satu kes tembakan berhampiran bandar kecil Wieambilla di Queensland. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg