2025 tahun cuaca ekstrem di S’pura, Jun dan November rekod terpanas
2025 tahun cuaca ekstrem di S’pura, Jun dan November rekod terpanas
2025 tercatat sebagai tahun yang ekstrem. Mac adalah bulan paling basah, manakala Jun dan November pula yang terpanas, demikian menurut laporan cuaca terbaharu yang dikeluarkan pada 23 Mac.
Singapura turut mencatat tekanan haba tertinggi pada 2025. Suhu glob bebola basah (WBGT) melonjak hingga 35 darjah Celcius (C) di Palawan Green, Sentosa, pada 31 Oktober, lapor The Straits Times.
WBGT adalah ukuran tekanan haba yang menggabungkan suhu udara, kelembapan, kelajuan angin dan sinaran suria.
Data ini diumumkan oleh Perkhidmatan Meteorologi Singapura (MSS), sebuah unit di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dalam laporan penilaian iklim tahunannya pada 23 Mac.
Walaupun dipengaruhi fenomena iklim La Nina, yang lazimnya membawa hujan dan cuaca sejuk seketika di rantau ini, 2025 tetap tersenarai sebagai tahun kelapan paling panas di Singapura, dengan suhu purata 28.1 darjah C. Ini jelas memperlihatkan kesan pemanasan jangka panjang akibat perubahan iklim, kata laporan tersebut.
Peningkatan suhu dan cuaca ekstrem ini muncul ketika Pemerintah menggesa rakyat untuk menjadikan penyesuaian iklim—usaha mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap manusia dan tempat—sebagai keutamaan negara pada 2026.
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) telah mengisytiharkan 2026 sebagai Tahun Penyesuaian Iklim semasa perbahasan belanjawannya di Parlimen pada 3 Mac.
Ia juga mengumumkan langkah-langkah penyesuaian, termasuk menubuhkan pejabat baru untuk menerajui usaha menangani tekanan haba.
Laporan iklim mendedahkan Singapura mengalami tekanan haba tinggi selama 29 hari pada 2025, meningkat daripada 21 hari pada 2024. MSS menjelaskan peningkatan ini sebahagiannya disebabkan oleh penambahan sensor tekanan haba di seluruh pulau.
Tekanan haba dianggap tinggi apabila purata WBGT setiap jam mencapai 33 darjah C atau lebih tinggi, dicatatkan di stesen yang mempunyai keupayaan mengesan tekanan haba.
Rekod tekanan haba di Palawan Green, Sentosa, pada Oktober 2025, berlaku semasa tempoh cahaya matahari yang kuat dan angin yang perlahan, sekali gus mengehadkan pelesapan haba dan menyumbang kepada nilai WBGT yang lebih tinggi.
Bagi memperkukuh pemantauan, MSS telah memperluas rangkaian sensor habanya dengan menambah lima stesen pada Januari 2026, menjadikan jumlah stesen operasi di Singapura kini kepada 20.

