Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

22 terbunuh apabila dua bangunan ranap ketika majlis akikah di Maghribi

Dec 11, 2025 | 10:47 AM
Orang ramai berdiri berhampiran lokasi dua bangunan runtuh di kawasan Al Massira di Fes pada 10 Disember 2025. Dua bangunan setinggi empat tingkat itu runtuh di bandar Fes, Maghribi, mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, menurut agensi berita negara pada 10 Disember.
Orang ramai berdiri berhampiran lokasi dua bangunan runtuh di kawasan Al Massira di Fes pada 10 Disember 2025. Dua bangunan setinggi empat tingkat itu runtuh di bandar Fes, Maghribi, mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, menurut agensi berita negara pada 10 Disember. - Foto AFP

FEZ, Maghribi: Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban, manakala 16 lagi cedera sebahagiannya parah apabila dua bangunan bersebelahan runtuh pada waktu malam di bandar Fez, salah satu kota tertua di Maghribi. Menurut pejabat pendakwa raya Fez pada 10 Disember, angka korban mungkin meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Salah satu bangunan yang runtuh tidak didiami, manakala bangunan kedua itu menjadi lokasi majlis akikah, sambutan tradisi bagi meraikan kelahiran bayi dalam masyarakat Muslim. Wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban.

Setakat ini, pihak berkuasa masih tidak dapat mengesahkan berapa ramai yang masih hilang, memandangkan majlis akikah yang berlangsung ketika kejadian dihadiri penduduk setempat dan saudara mara.

“Kami belum dapat memastikan angka sebenar mereka yang berada dalam bangunan ketika ia runtuh. Fokus kami ialah menyelamatkan sesiapa yang masih hidup,” kata seorang pegawai penyelamat di lokasi kejadian.

Pendakwa raya dalam kenyataan berkata, siasatan kehakiman telah dibuka, selain siasatan teknikal dan pentadbiran bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan struktur. “Kami masih mengemas kini jumlah mangsa. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk menentukan faktor runtuhan, termasuk keadaan struktur dan pematuhan kod pembinaan,” kata pejabat pendakwa raya.

Lapan keluarga tinggal di bangunan yang menjadi lokasi majlis akikah tersebut. Antara yang terselamat ialah seorang lelaki yang kehilangan isteri dan tiga anaknya dalam tragedi itu. “Mereka menemukan satu mayat, tetapi saya masih menunggu ahli keluarga lain,” katanya tanpa memberikan namanya kepada Medi1 TV, menahan sebak.

Rakaman SNRT News pula menunjukkan anggota penyelamat dan penduduk setempat mengorek runtuhan dengan tangan dan peralatan ringan, dalam usaha menyelamatkan sesiapa yang mungkin masih hidup di bawah serpihan konkrit.

Seorang wanita tua tanpa memberikan namanya menceritakan detik panik itu kepada SNRT News:
“Anak saya yang tinggal di tingkat atas menjerit, ‘bangunan sedang runtuh’. Kami terus berlari keluar, dan sebaik saja kami sampai ke jalan, kami lihat bangunan itu jatuh depan mata.”

Penduduk di kawasan kejiranan Al-Mustaqbal, di barat Fez, memberitahu media bahawa dua bangunan yang terbabit telah menunjukkan retakan sejak sekian lama, namun aduan mereka tidak mendapat tindakan segera.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua bangunan itu dibina pada tahun 2006 melalui skim kerajaan yang membenarkan penduduk setinggan membina rumah mereka sendiri di atas lot yang diperuntukkan. Namun ia kini menjadi antara runtuhan paling buruk dalam 15 tahun terakhir, selepas tumbangnya menara masjid di Meknes pada 2010 yang meragut 41 nyawa.

Pada Mei lalu, sebuah bangunan lain di Maghribi turut runtuh, mengorbankan 10 orang, menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan kod keselamatan di kawasan lama dan padat penduduk.

Setiausaha Negara bagi Perumahan, Encik Adib Ben Ibrahim, pernah mendedahkan pada Januari bahawa sekitar 38,800 bangunan di seluruh negara berisiko runtuh, mencerminkan masalah struktur yang jauh lebih besar daripada insiden terpencil.

Fez, bandar ketiga terbesar Maghribi dan bekas ibu kota sejak abad kelapan, kini menjadi tumpuan dunia kerana akan menjadi salah satu tuan rumah Piala Dunia 2030 serta Piala Negara-Negara Afrika pada bulan Disember ini.

Namun di sebalik daya tarikannya sebagai kota pelancongan terkenal dengan badar lamanya yang bersejarah, pasar tradisionalnya (souk) dan tempat penyamakan kulit, Fez mempunyai kawasan miskin yang padat dengan bangunan lama dan serba uzur.

Kawasan itu juga menjadi pusat demonstrasi dua bulan lalu apabila ribuan belia turun ke jalan membantah kemerosotan taraf hidup dan kelemahan perkhidmatan awam. “Orang ramai tidak meminta stadium baru. Mereka meminta air bersih, rumah selamat, dan hospital yang boleh berfungsi.” demikian antara slogan yang dilaungkan ketika protes Oktober lalu.

Dalam pada itu, tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan untuk memperketat penguatkuasaan kod bangunan, khusus di kawasan lama yang terdedah kepada risiko struktur, dan menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada isu perumahan yang membelenggu penduduk. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg