Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebangkitan Gen Z gugat Maghribi

‘Gen Z 212’ cermin kebangkitan generasi baru tolak politik lama, sistem korup dan janji pembangunan yang tidak pernah ditepati
Oct 27, 2025 | 5:30 AM
Penunjuk perasaan berkumpul semasa demonstrasi yang dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai, ‘Gen Z 212’ di Rabat, Maghribi, pada 9 Oktober 2025. Kumpulan itu berhimpun bagi menuntut pembaharuan dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan
Penunjuk perasaan berkumpul semasa demonstrasi yang dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai, ‘Gen Z 212’ di Rabat, Maghribi, pada 9 Oktober 2025. Kumpulan itu berhimpun bagi menuntut pembaharuan dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan - Foto EPA

RABAT: Gelombang demonstrasi besar-besaran yang kini melanda Maghribi menandakan babak baharu dalam sejarah sosial dan politik negara Afrika Utara itu.

Dipelopori oleh kumpulan anak muda yang menamakan diri mereka Gen Z 212 – merujuk kepada kod panggilan antarabangsa Maghribi – gerakan itu mencerminkan kebangkitan generasi baru yang menolak politik lama, sistem korup dan janji pembangunan yang tidak pernah ditepati.

Fenomena itu bukan sekadar letusan kemarahan spontan, bahkan lambang perubahan struktur masyarakat yang semakin tidak percaya pada institusi tradisional.

Dengan lebih separuh penduduk Maghribi berusia di bawah 35 tahun, tenaga muda kini menjadi kuasa sosial baru yang mendesak perubahan secara langsung di jalanan dan di ruang digital.

Gelombang Bantahan: Dari Alam Maya ke Jalanan

Bantahan Gen Z 212 bermula selepas kejadian tragik pada 14 September, apabila lapan wanita meninggal dunia ketika melahirkan anak di sebuah hospital awam di Agadir.

Kejadian itu menjadi pencetus kemarahan terhadap sistem kesihatan awam yang dianggap gagal dan mencerminkan jurang sosial yang semakin luas.

Seorang peserta muda yang hanya dikenali sebagai Encik Youssef, 27 tahun, berkata:

“Kami tidak menentang pembangunan, tetapi kami menentang keutamaan yang salah. Kerajaan membina stadium, tetapi hospital kekal tanpa doktor.”

Kemarahan itu berakar daripada rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan yang lebih menumpukan projek mercu tanda seperti pembinaan stadium untuk Piala Dunia 2030 dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi sedangkan kemudahan asas seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan terus terabai.

Keunikan gerakan itu terletak pada cara ia disusun.

Tiada pemimpin rasmi, tiada parti politik di belakangnya. Gen Z 212 menggunakan Discord, aplikasi sembang dalam talian yang popular dalam kalangan remaja dan pemain permainan video, sebagai medium penyelaras.

Lebih 180,000 anggota aktif menggunakan saluran khusus di aplikasi tersebut untuk membincangkan strategi, menyebarkan maklumat lokasi bantahan dan mengedarkan video kekerasan pihak berkuasa.

Menurut salah seorang perantara, kerahsiaan identiti adalah pelindung utama.

“Saya lebih rela kekal tanpa nama daripada menghabiskan 20 tahun di penjara,” katanya, merujuk kepada hukuman berat yang pernah dijatuhkan terhadap pemimpin gerakan, Hirak Rif, pada 2017.

Walaupun bermula secara spontan, Gen Z 212 kemudian membentuk rangka jelas, menuntut pendidikan percuma dan bermutu, penjagaan kesihatan awam yang mudah diakses, pekerjaan untuk belia, serta pemecatan Perdana Menteri Maghribi, Encik Aziz Akhannouch, seorang tokoh perniagaan berpengaruh yang dianggap lambang elitisme politik.

Kebangkitan itu tidak berlaku dalam kekosongan sejarah.

Maghribi telah lama dihantui oleh krisis struktur dalam pendidikan dan kesihatan.

Walaupun kerajaan memperkenal pelbagai pelan reformasi sejak 1990-an, termasuk Model Pembangunan Baharu pada 2021, hasilnya masih tidak ketara di peringkat akar umbi.

Data daripada Afrobarometer menunjukkan kadar pengangguran belia mencecah 36 peratus, meningkat kepada 47 peratus di kawasan bandar.

Sementara itu, sistem penjagaan kesihatan awam menyediakan lebih 80 peratus rawatan tetapi hanya menerima 40 peratus daripada perbelanjaan nasional, sekali gus menyebabkan kekurangan doktor dan peralatan.

Menurut pakar ekonomi politik Maghribi, Dr Azeddine Akesbi, masalah itu berpunca daripada keutamaan yang salah dalam dasar pembangunan.

“Pembangunan fizikal dan simbolik dijadikan ukuran kemajuan, sedangkan pembangunan manusia iaitu pendidikan dan kesihatan dibiarkan terpinggir,” katanya.

Strategi Dua Wajah Kerajaan

Reaksi kerajaan bercampur antara pendekatan keras dengan pujukan.

Pada hujung September, ratusan penunjuk perasaan ditahan, manakala di beberapa bandar kecil, polis dilaporkan melepaskan tembakan terhadap peserta demonstrasi, menyebabkan kematian sekurang-kurangnya tiga orang.

Namun, pada masa yang sama, Encik Akhannouch menyatakan kesediaan untuk berdialog.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kerajaan “terbuka untuk mendengar suara rakyat” dan akan menambah baik hospital serta menambah tenaga kerja kesihatan.

Tetapi kenyataan itu dianggap tidak meyakinkan ramai.

Seorang pelajar universiti di Casablanca berkata: “Mereka boleh bina tujuh stadium baru dalam beberapa bulan, tetapi untuk tambah doktor di hospital, mereka perlukan bertahun-tahun. Ini bukan soal kemampuan, tetapi kehendak politik.”

Satu aspek menarik dalam gerakan itu ialah seruan langsung kepada Raja Mohammed VI agar campur tangan dan memecat kerajaan.

Dalam sepucuk surat terbuka, Gen Z 212 meminta baginda membubarkan parti politik korup, membebaskan tahanan politik dan mengadakan forum nasional bagi kebertanggungjawapan.

Walaupun Raja masih menjadi institusi paling dihormati di Maghribi, ucapan baginda pada pembukaan Parlimen pada 10 Oktober dianggap hambar.

Baginda menegaskan bahawa pembangunan sosial dan projek mega boleh “berjalan seiring”, tetapi tidak menyentuh tuntutan Gen Z 212 secara langsung.

“Keadilan sosial bukan keutamaan sementara,” titah baginda.

“Tiada percanggahan antara projek nasional besar dengan program sosial, kerana kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama memajukan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat.”

Namun, bagi ramai anak muda, kenyataan itu tidak membawa makna konkrit. Mereka melihatnya sebagai kesinambungan retorik lama tanpa pelan tindakan jelas.

Antara Harapan dengan Skeptisisme

Gen Z 212 kini berada di persimpangan.

Sebahagian penganalisis percaya gerakan itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan jangka panjang jika kekal aman dan berdisiplin.

Namun, ramai turut bimbang jika kerajaan terus gagal bertindak balas secara bermakna, kegelisahan boleh bertukar menjadi radikalisasi politik.

Pakar sosiologi Maghribi, Dr Rachida Bouziane, menegaskan:

“Ini bukan sekadar bantahan tentang stadium atau hospital. Ia tentang krisis legitimasi antara realiti kehidupan rakyat dengan citra kemodenan yang ingin ditonjolkan negara.”

Bagi ramai anak muda Maghribi, wujud dua realiti yang bergerak selari ‘Maghribi rasmi’ yang megah dengan projek pembangunan dan kemodenan, serta ‘Al-Maghrib sebenar’ yang masih bergelut dengan kemiskinan, pengangguran dan rasa terhina akibat ketidakadilan sistemik.

Kebangkitan Gen Z 212 telah memecah kebisuan politik Maghribi dan membuka ruang wacana baru tentang keadilan sosial.

Ia menandakan perubahan paradigma daripada gerakan bantahan berstruktur atas-bawah kepada gerakan rakyat yang bersifat terbuka, mendatar, digital dan bersifat terangkum.

Namun, masa depan gerakan itu masih bergantung kepada sejauh mana institusi Maghribi, termasuk istana, sanggup bertindak melangkaui kosmetik reformasi.

Jika tidak, bantahan itu mungkin menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang janji yang gagal ditunaikan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang penunjuk perasaan dalam temu bual media tempatan:

“Kami tidak menuntut keajaiban. Kami hanya mahu negara yang menjaga rakyatnya sebagaimana ia menjaga imejnya di mata dunia.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg