RIYADH: Sekurang-kurangnya 23 orang cedera apabila permainan di sebuah taman hiburan di Arab Saudi terpatah dua lantas menyebabkan alat pemusar besar terhempas, lapor media pada 31 Julai.
Rakaman yang beredar dalam talian menunjukkan alat tunggangan ‘360 Darjah’ patah, dengan pemusar bulat terhempas dari ketinggian beberapa meter.
Saluran televisyen, Al Arabiya, milik kerajaan Arab Saudi mengesahkan seramai 23 cedera, empat daripadanya parah, dalam nahas tersebut.
Susulan kejadian itu, taman hiburan yang terletak di Taif, barat daya Arab Saudi, telah ditutup dan siasatan sedang dijalankan, tambah Al Arabiya.
Arab Saudi telah membina pelbagai tarikan riadah dan hiburan ketika negara padang pasir yang lama terkurung itu berusaha mempelbagaikan ekonominya yang selama ini bergantung pada hasil minyak.
Antara projek gergasi yang dijalankan oleh kerajaan Saudi itu termasuklah di Qiddiya berhampiran Riyadh.
Ia ditakrifkan sebagai ‘bandar hiburan’ taman tema dan litar lumba sukan permotoran.
Kemalangan itu berlaku pada petang 30 Julai di sebuah taman hiburan di kawasan Al-Hada di Taif, berhampiran bandar Jeddah, lapor media kerajaan Arab News.
Menurut Arab News, gabenor wilayah itu, Putera Saud bin Nahar bin Saud bin Abdulaziz, mengarahkan penutupan serta-merta taman hiburan itu sementara siasatan ke atas kemalangan itu giat dijalankan.
Sejurus selepas kemalangan, perkhidmatan kecemasan, termasuk pertahanan awam, unit polis dan pasukan perubatan, segera bergegas ke taman tersebut.
Beberapa yang cedera dirawat di tempat kejadian dan kebanyakan mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan.
Pegawai kemudian mengesahkan empat daripada 23 mangsa mengalami kecederaan serius.
Namun, tiada kematian dilaporkan.
Video dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan pengunjung taman dalam keadaan kelam-kabut dengan beberapa individu yang cedera terbaring di atas tanah.
Para saksi menyifatkan kejadian itu sebagai huru-hara dan meninggalkan kesan trauma, kerana kawasan sekitar alat tunggangan yang rosak itu segera dikepung oleh pihak berkuasa.
Sebagai tindak balas kepada kemalangan itu, Putera Saud bin Nahar, menyatakan siasatan rasmi telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Beliau turut mengesahkan bahawa siasatan itu juga bertujuan memastikan kebertanggungjawapan dan menilai sama ada protokol keselamatan dipatuhi secukupnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg