KALIMANTAN TENGAH: Polis Indonesia memperhebat penguatkuasaan terhadap kebakaran hutan dan tanah, dengan 23 orang dinamakan sebagai suspek dalam 19 kes di Kalimantan Tengah, sedang pihak berkuasa di Riau meningkatkan pemantauan bagi menghalang kawasan yang terbakar daripada ditukar menjadi ladang kelapa sawit.

Tindakan itu dilakukan ketika beberapa wilayah terus berdepan kesan kebakaran dan jerebu, termasuk Kalimantan Selatan, yang mencatatkan peningkatan kes jangkitan akut saluran pernafasan daripada sekitar 5,000 kepada 7,000 kes sebelum mula menunjukkan penurunan.

Jurucakap Polis Kalimantan Tengah, Encik Budi Rachmat, berkata 19 kes kebakaran hutan dan tanah itu dikendalikan sejak Operasi Aman Nusa II bermula pada 21 Julai.

“Usaha penguatkuasaan undang-undang diteruskan sebagai sebahagian langkah menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah,” katanya.

Pulang Pisau mencatatkan jumlah suspek paling ramai, dengan 10 orang disiasat menerusi empat laporan polis.

Di Palangka Raya, tiga suspek dikenal pasti menerusi dua laporan, manakala polis Barito Utara mengendalikan tiga laporan membabitkan dua suspek.

Kes lain turut disiasat di Kotawaringin Timur, Kapuas, Sukamara, Gunung Mas, Katingan, Lamandau, Barito Selatan dan Kotawaringin Barat.

Sebahagian kes masih dalam peringkat siasatan, manakala polis sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kes lain.

“Setiap laporan yang diterima akan disusuli mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Encik Budi.

Beliau menegaskan polis Kalimantan Tengah akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melanggar undang-undang berkaitan kebakaran hutan dan tanah.

Di Riau, polis pula memperketat pemantauan kawasan bekas kebakaran bagi memastikan tanah yang terbakar tidak digunakan untuk membuka ladang kelapa sawit secara haram.

Langkah itu dilakukan selepas hujan sejak beberapa hari lalu membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah tersebut.

Jurucakap Polis Riau, Encik Akmadi, berkata usaha menangani kebakaran tidak boleh berakhir selepas api dipadamkan.

Menurutnya, pemantauan selepas kebakaran penting bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab tidak mendapat keuntungan dengan menggunakan tanah yang telah dibakar.

“Kami mahu memastikan tiada ruang bagi pihak tertentu meraih keuntungan dengan melanggar peraturan selepas sesuatu kawasan terbakar,” katanya.

Mesej pihak berkuasa, katanya, jelas bahawa membakar tidak boleh dijadikan kaedah murah untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian atau perladangan.

Polis Riau telah memasang papan tanda larangan di beberapa kawasan bekas kebakaran sejak 2025 dan terus melakukan rondaan bagi memastikan tanah berkenaan tidak diusahakan.

Pengawasan dipertingkatkan selepas polis baru-baru ini menemukan anak pokok kelapa sawit ditanam di kawasan bekas kebakaran di Kabupaten Bengkalis.

Seorang suspek dikenali sebagai YS dinamakan pada 28 Ogos selepas didakwa menanam kelapa sawit di kawasan seluas enam hektar di Pematang Pudu, Kecamatan Mandau.

Menurut polis, sekitar 1.5 hektar kawasan itu telah dibersihkan.

Ketua Polis Bengkalis, Encik Fahrian Saleh Siregar, berkata pemeriksaan koordinat mendapati tanah tersebut terletak dalam kawasan hutan pengeluaran terhad dan diusahakan tanpa permit.

Seorang lagi suspek, JFP, dinamakan pada 29 Ogos selepas didakwa mengusahakan empat hektar tanah bekas kebakaran di Desa Buluh Apo, Kecamatan Pinggir.

Agensi berkaitan kemudian mengesahkan tanah tersebut merupakan kawasan hutan milik negara.

Kesan kebakaran terhadap kesihatan penduduk pula dapat dilihat di Kalimantan Selatan.

Ketua Jabatan Kesihatan Kalimantan Selatan, Encik Diauddin, berkata kes jangkitan saluran pernafasan akut yang sebelum ini berpurata sekitar 5,000 meningkat kepada kira-kira 7,000 ketika jerebu melanda.

Bagaimanapun, jumlah kes mula menurun pada minggu ke-33 berbanding minggu sebelumnya.

“Kes sebelum ini secara purata sekitar 5,000, kemudian meningkat kepada kira-kira 7,000. Tetapi minggu lalu, jumlahnya turun sedikit berbanding minggu ke-32,” katanya.

Beliau berharap penurunan itu berterusan tetapi memberi amaran bahawa jumlah kes masih tinggi berbanding sebelum jerebu.

Pihak berkuasa kesihatan terus memantau kes ISPA dan menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila mutu udara merosot.

“Apabila mutu udara buruk, orang ramai perlu mengehadkan kegiatan di luar dan memakai pelitup muka,” kata Encik Diauddin.

Mereka yang mengalami batuk, kesukaran bernafas atau gejala lain turut dinasihatkan mendapatkan rawatan. – Agensi berita.