Indonesia terus bergelut memadam kebakaran hutan dan tanah yang melanda beberapa wilayah ketika musim kemarau semakin memuncak, dengan titik panas baharu terus muncul dan kebakaran tanah gambut yang sukar dipadam memburukkan lagi keadaan.

Di Riau, Pekanbaru dan Kabupaten Pelalawan meningkatkan status kecemasan kebakaran hutan dan tanah daripada “berjaga-jaga kecemasan” kepada “tindak balas kecemasan”, susulan jerebu yang semakin tebal sehingga menyebabkan mutu udara mencapai tahap sangat tidak sihat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah dan Pemadam Kebakaran Riau, Encik M Edy Afrizal, berkata Pekanbaru, ibu kota wilayah itu, dan Pelalawan adalah antara kawasan yang terjejas teruk.

Keadaan itu turut menyebabkan sekolah dan universiti beralih kepada pembelajaran dalam talian bagi melindungi pelajar daripada pendedahan kepada jerebu.

“Peningkatan status kepada tindak balas kecemasan dijangka dapat memperkukuh penyelarasan rentas sektor, selain mempercepat usaha menangani kebakaran dan kesannya terhadap orang ramai,” kata Encik Edy.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), status berjaga-jaga kecemasan digunakan apabila potensi ancaman bencana semakin meningkat, manakala tindak balas kecemasan diisytiharkan apabila bencana sudah berlaku dan mula menjejaskan kehidupan serta mata pencarian penduduk.

BNPB sebelum ini melaporkan 68 titik panas dikesan di seluruh Riau ketika kebakaran masih berlaku di beberapa kawasan.

Encik Edy berkata pihak berkuasa terus memantau keadaan sebelum memutuskan sama ada status tindak balas kecemasan perlu diperluaskan ke seluruh Riau.

Buat masa ini, semua kabupaten dan bandar di wilayah berkenaan sudah mengisytiharkan status berjaga-jaga kecemasan.

Keadaan turut membimbangkan di Kalimantan Barat.

Di Ketapang, kebakaran hutan dan tanah sudah berlaku sejak Februari tetapi pada mulanya masih dapat dikawal kerana hujan ketika tempoh peralihan daripada musim hujan kepada musim kemarau membantu memadamkan kebakaran secara semula jadi.

Namun keadaan berubah selepas hujan mula berkurangan pada akhir Jun.

Seorang penduduk Ketapang, Encik Heribertus Suciadi, memberitahu Berita Harian bahawa kebakaran di kawasan tanah gambut dan luar bandar sekitar bandar itu sejak itu berlaku hampir tanpa henti.

“Keadaan semakin buruk apabila hujan berhenti pada akhir Jun. Sejak itu, kebakaran di tanah gambut dan kawasan luar bandar sekitar bandar ini hampir tidak berhenti kerana kebakaran gambut amat sukar dipadam tanpa hujan,” katanya.

Asap daripada kebakaran kira-kira 20 hingga 30 kilometer dari pusat bandar sering dibawa angin ke kawasan kediaman.

Sebahagian penduduk mula mengalami masalah pernafasan dan sakit tekak akibat menghidu asap yang turut memasuki rumah.

Menurut Encik Heribertus, jerebu biasanya menjadi lebih tebal pada sebelah malam dan pagi apabila suhu lebih rendah menyebabkan asap berada lebih dekat dengan permukaan bumi.

“Asap sangat tebal pagi ini tetapi jarak penglihatan masih selamat. Abu kebakaran juga jatuh di bandar sehingga rumah cepat kotor. Beberapa rakan dan isteri saya sudah mula mengalami sakit tekak akibat asap dan abu,” katanya.

Kalimantan Barat merupakan antara wilayah paling teruk terjejas tahun ini ketika pakar iklim memberi amaran bahawa keadaan boleh bertambah buruk akibat musim kemarau berpanjangan yang dipertingkat fenomena El Niño yang kuat.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) meramalkan musim kemarau akan terus mencapai kemuncaknya sehingga September.

Musim hujan dijangka mula memasuki bahagian barat Indonesia pada Oktober sebelum meliputi sebahagian besar negara itu pada November.

Peta BMKG Kalimantan Barat pada 27 Ogos menunjukkan kira-kira separuh daripada wilayah itu, termasuk ibu kotanya Pontianak, berdepan risiko sangat tinggi berlaku kebakaran berdasarkan tahap kekeringan lapisan atas tanah.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, turut turun padang ketika pemerintah meningkatkan usaha menangani krisis tersebut.

Pada 22 Ogos, beliau melawat Kubu Raya di Kalimantan Barat dan meninjau kawasan terbakar di Desa Limbung untuk melihat sendiri operasi pemadaman.

Beliau kemudian ke Kalimantan Tengah dan mengadakan sidang video bersama pegawai serta pasukan pemadam kebakaran sebelum berjanji menghantar tiga helikopter pengeboman air.

Menurut Kementerian Kehutanan, 7,634.46 hektar kawasan terbakar di Kalimantan Tengah antara 1 Januari dengan 1 Ogos.

Pada 24 Ogos, Encik Prabowo turut melawat Sumatera Selatan dan Riau sebelum mengarahkan 20 jengkaut dihantar bagi membina terusan dan benteng pemisah kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut.

Data MapBiomas Indonesia Fire menunjukkan 178,232 hektar kawasan terbakar di seluruh Indonesia antara Januari dengan Jun – hampir tiga kali keluasan Singapura.

Daripada jumlah itu, 40,016 hektar merupakan tanah gambut, bersamaan 22 peratus daripada keseluruhan kawasan terbakar.

Sekitar 51 peratus kebakaran tanah gambut berlaku di Kalimantan dan 38 peratus di Sumatera.

Pakar forensik kebakaran dari Universiti IPB, Profesor Bambang Hero Saharjo, berkata Indonesia sebenarnya sudah mempunyai sistem amaran awal bagi mengesan risiko kebakaran, tetapi pelaksanaan di peringkat daerah masih berdepan masalah kekurangan peralatan dan dana.

“Bagaimana pemerintah daerah boleh menjalankan pemantauan atau operasi pemadaman jika mereka tidak mempunyai peralatan yang diperlukan?” katanya.

Menurut Profesor Bambang, usaha menangani kebakaran tanah gambut perlu diberi perhatian serius kerana penyelidikan menunjukkan asap kebakaran gambut mengandungi gas beracun yang boleh membawa kesan kesihatan serius.

Cabaran itu dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga musim hujan kembali, ketika pasukan pemadam masih berdepan kawasan sukar dimasuki, bekalan air terhad, jarak penglihatan rendah dan api bawah tanah di kawasan gambut yang boleh terus membara walaupun kebakaran di permukaan kelihatan sudah padam.