JAKARTA: Kementerian Ehwal Luar Indonesia mengesahkan Konsulat Jeneral negaranya di Jeddah hadir semasa soal siasat terhadap 24 warga Indonesia yang ditahan pihak keselamatan Arab Saudi di Madinah pada 28 Mei.
Warga Indonesia itu ditahan kerana disyaki menggunakan visa palsu milik orang lain, walaupun mereka direkodkan memasuki Arab Saudi dengan visa haji Syakhsiyah.
Mereka terdiri daripada 22 anggota jemaah haji dan dua penyelaras.
Konsulat Jeneral Indonesia juga telah menyediakan perkhidmatan penterjemahan kepada mereka.
Berdasarkan maklumat terkini, pihak berkuasa Arab Saudi, 22 anggota jemaah haji itu akan dibebaskan, sementara kedua-dua penyelaras berkenaan akan didakwa bersama pemandu dan pemilik bas yang mereka naiki.
Pemerintah Arab Saudi sedang meningkatkan serbuan bagi menghalang jemaah haji menunaikan haji tanpa permit sah.
Pada 30 Mei, Kementerian Ehwal Luar Indonesia merayu kepada jemaah haji Indonesia supaya mematuhi undang-undang Arab Saudi dan menunaikan haji hanya dengan visa haji, atau tasreh.
Kementerian Ehwal Agama Indonesia juga telah menegaskan bahawa hanya visa haji boleh digunakan untuk menunaikan haji.
Jemaah yang melakukan pelanggaran seperti menggunakan visa lain atau visa tidak rasmi, akan dikenakan beberapa sekatan.
Anggota pasukan pusat media Kementerian Hal Ehwal Ugama, Cik Widi Dwinanda, berkata Arab Saudi telah mengeluarkan beberapa siri sekatan terhadap jemaah yang melakukan pelanggaran.
Jemaah tanpa visa haji rasmi mungkin tertakluk pada peraturan pengusiran dan dilarang memasuki Arab Saudi dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.
Jemaah tanpa visa haji rasmi juga dikenakan denda 10,000 riyal ($3,600).
Mereka yang didapati menyelaraskan jemaah menggunakan visa haji tidak rasmi berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan dan/atau denda hingga 50,000 riyal.
Cik Widi berkata penggunaan visa haji dikawal oleh Undang-undang No. 8 Tahun 2019 mengenai pelaksanaan ibadah haji dan umrah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg