KAHIRAH: Arab Saudi sedang meneruskan usaha peringkat sejagat dengan kerjasama negara lain, untuk mendedahkan perniagaan yang terlibat dalam mempromosikan lawatan palsu untuk haji tahunan, demikian didedahkan oleh seorang pegawai di sini.
“Terdapat kerjasama dengan Pakistan, Mesir, Iraq, dan negara-negara lain yang kegiatan seperti itu berleluasa.
“Syarikat sedemikian di negara-negara tersebut telah dibongkar,” kata Timbalan Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Saudi bagi Hal Ehwal Haji, Dr Ayed Al Ghuwaynem.
“Mereka yang menipu jemaah, tahu bahawa jemaah yang disasarkan tidak boleh menunaikan haji disebabkan keselamatan mereka,” katanya kepada akhbar Arab Saudi, Asharq Al Awsat.
Pegawai itu juga menyebut kegiatan berprofil tinggi di Arab Saudi, yang mana beberapa individu telah ditahan baru-baru ini kerana mempromosikan perkhidmatan berkaitan haji secara haram di media sosial.
“Kementerian Haji akan bersikap tegas dalam menghalang kemasukan haram ke tempat suci termasuk Makkah.
“Badan pemerintah, yang diketuai oleh agensi keselamatan, bekerja keras dalam hal ini, termasuk menubuhkan pusat pemeriksaan keselamatan di dalam Makkah, untuk menyekat kemasukan jemaah haji yang tidak patuh undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Dr Al Ghuwaynem menjangkakan, jumlah jemaah haji pada 2024 melebihi jumlah musim lalu, apabila 1.8 juta umat Islam menunaikan ibadah haji.
“Adalah sukar sekarang untuk memberikan angka tertentu sehingga akhir Hari Arafah,” tambahnya, merujuk kepada hari puncak haji.
Arab Saudi baru-baru ini memberi amaran kepada umat Islam yang merancang untuk menunaikan haji, tentang kempen dan laman web palsu, dan telah menentukan saluran undang-undang yang berkaitan.
Kementerian Haji Arab Saudi menegaskan semua jemaah haji perlu mendapatkan permit haji. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg