Topik diikuti
Pergi ke BHku247 remaja Indonesia terdedah, dieksploitasi rangkaian pengganasan dalam talian
247 remaja Indonesia terdedah, dieksploitasi rangkaian pengganasan dalam talian
Menteri: Pengganasan tetap terkawal di Indonesia meski remaja dan belia sasaran utama ekstremisme digital
247 remaja Indonesia terdedah, dieksploitasi rangkaian pengganasan dalam talian
JAKARTA: Seramai 132 anak remaja di Indonesia dieksploitasi oleh rangkaian pengganas, manakala 115 lagi didedahkan kepada komuniti keganasan dalam talian sepanjang enam bulan pertama 2026, sekali gus mencerminkan ancaman ekstremisme yang semakin beralih ke ruang digital dengan golongan muda menjadi sasaran utama.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Jeneral TNI (B) Djamari Chaniago, berkata data yang diperoleh daripada Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia, Densus88, menunjukkan 132 kanak-kanak remaja di 26 wilayah telah dieksploitasi oleh rangkaian pengganas, manakala 115 lagi di 21 wilayah terdedah kepada komuniti keganasan dikenali sebagai Komunitas Kriminal”.
Beliau berkata angka itu menjadi amaran kepada Indonesia bahawa negara masih berdepan cabaran besar dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh ekstremisme berasaskan keganasan yang kini semakin aktif melalui platform digital.
Bercakap pada Forum Pengukuhan Kerjasama Pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional bagi Pencegahan dan Menangani Ekstremisme Ganas yang Menjurus kepada Pengganasan (RAN-PE) Fasa II di Jakarta pada 27 Julai, Encik Djamari, berkata perubahan landskap ancaman keselamatan menjadikan Internet bukan lagi sekadar medium komunikasi, malah saluran utama kumpulan ekstremis menyebarkan propaganda, merekrut ahli baharu dan mengumpul dana.
Katanya, ruang digital kini ibarat medan tempur baharu yang dipenuhi pelbagai kandungan berbahaya seperti berita palsu, maklumat mengelirukan, fitnah dan ucapan kebencian yang mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat, khususnya golongan muda.
“Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap cara masyarakat menggunakan ruang digital pada masa ini.
“Melalui media digital, pelbagai bentuk berita palsu, maklumat mengelirukan, fitnah dan ucapan kebencian disebarkan. Kandungan seperti ini akhirnya membentuk pemikiran negatif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya.
Beliau berkata corak ancaman pengganas juga berubah dengan ketara apabila kumpulan ekstremis tidak lagi bergantung kepada organisasi besar yang tersusun, sebaliknya bergerak dalam kumpulan kecil atau secara bersendirian melalui masyarakat dalam talian.
Menurutnya, pengganasan hari ini tidak lagi semata-mata berpunca daripada ideologi tertentu, sebaliknya didorong oleh pemujaan terhadap pengganasan, pencarian identiti dan kelemahan psikologi yang dieksploitasi, terutama dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
“Internet kini digunakan sebagai alat merekrut ahli baharu. Ironinya, ramai kanak-kanak, wanita dan golongan muda menjadi sasaran,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran baharu, Encik Djamari berkata ancaman pengganasan di Indonesia ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata bilangan insiden pengganasan di negara itu terus menunjukkan trend penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini hasil kerjasama antara pemerintah, agensi penguat kuasa, masyarakat, ahli akademik serta rakan antarabangsa.
Katanya, Indeks Pengganasan Global 2026 mengklasifikasikan Indonesia sebagai negara yang menerima impak sederhana daripada ancaman pengganasan, manakala Indeks Keamanan Global 2026 meletakkan negara itu pada tahap keamanan sederhana.
“Ini membuktikan usaha pencegahan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan selama ini memberikan hasil positif.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa kerana kumpulan ekstremis sentiasa mengubah taktik dan pendekatan mereka,” katanya.
Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata kebanyakan kes yang membabitkan kanak-kanak direkodkan di Pulau Jawa dan Sumatera.
“Seperti yang dinyatakan Menteri Penyelaras tadi, jumlah tertinggi direkodkan di beberapa wilayah di Pulau Jawa dan Sumatera,” katanya.
Menurut beliau, pemerintah bersama polis, agensi perisikan serta kementerian berkaitan telah melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi memastikan kanak-kanak yang dikenal pasti tidak terus dipengaruhi rangkaian pengganas.
Encik Djamari turut menggesa semua kementerian dan agensi menyelaraskan program serta peruntukan masing-masing bagi menyokong usaha pencegahan ekstremisme.
Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak dan belia kerana mereka merupakan kumpulan paling mudah dipengaruhi propaganda dalam talian.
“Sebanyak 111 tindakan yang digariskan melibatkan 70 kementerian, agensi dan pelbagai pihak berkepentingan. Angka ini mencerminkan komitmen nasional yang perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan.
“Kewaspadaan mesti terus menjadi keutamaan kita agar trend penurunan keganasan dapat dikekalkan dan keselamatan negara terus diperkukuhkan,” katanya. – Agensi berita.