Indonesia tumpu ancaman pengganasan kanak-kanak dalam talian
Indonesia tumpu ancaman pengganasan kanak-kanak dalam talian
Seramai 70 kanak-kanak antara 11 dengan 18 tahun dikenal pasti terjerat ideologi ganas
Seorang remaja Indonesia dirakam dalam satu video sedang menerangkan dalam bahasa Inggeris cara memasang bahan letupan buatan sendiri.
Ia melibatkan proses memasukkan serbuk hitam ke dalam sebatang paip sambil memakai sarung tangan plastik.
Rakaman yang membimbangkan itu dipaparkan semasa satu sidang media di ibu pejabat Polis Negara di Jakarta awal bulan Januari.
Ia merupakan antara beberapa video yang ditemui oleh unit antipengganasan polis, Densus 88, hasil serbuan ke atas puluhan kumpulan sembang dalam aplikasi pemesejan yang dikendalikan oleh apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai sebuah “komuniti jenayah sebenar” dalam talian yang mengagungkan pengganasan tanpa mengira ideologi.
Remaja berkenaan, yang berpakaian serba hitam, dikenal pasti sebagai salah seorang daripada 70 kanak-kanak berusia antara 11 dengan 18 tahun yang didapati terpengaruh dengan ideologi ganas.
Densus 88, Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT) serta institusi pemerintah lain telah campur tangan bagi menghalang mereka daripada menterjemahkan kepercayaan itu kepada pengganasan sebenar.
Ketua BNPT, Encik Eddy Hartono, berkata: “Sedang muncul satu trend dalam ruang digital yang mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan ganas.”
Beliau berkata bentuk ekstremisme itu berbeza daripada proses radikalisasi berkaitan pengganasan yang lazim ditangani polis, dan walaupun ia masih berada pada peringkat prapengganasan, ia berpotensi berkembang menjadi ekstremisme, radikalisme dan akhirnya pengganasan.
“Ini ialah fasa awal. Jika tidak ditangani secara serius sejak awal, ia akan menjadi ancaman pada masa hadapan, khususnya dalam bentuk pengganasan,” katanya.
Menurut jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardana, lebih 20 kumpulan sembang yang diserbu mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa yang lebih luas.
Ia mempromosikan ideologi berasas pengganasan, termasuk fahaman ketuanan kulit putih, neo-Nazi dan ultra-nasionalisme.
“Rakaman itu bertujuan dikongsi dengan masyarakat antarabangsa mereka,” kata Encik Mayndra kepada Berita Harian (BH).
Beliau menjelaskan bahawa rangkaian tersebut beroperasi secara longgar, tanpa kepimpinan pusat atau tokoh yang dihormati, tetapi mengagungkan ahli yang mampu melaksanakan serangan.
Pakar kriminologi Universiti Indonesia, Encik Adrianus Meliala, berkata penemuan itu tidak tergolong sebagai pengganasan konvensional seperti yang ditakrifkan di bawah mandat BNPT, sebaliknya merupakan satu gangguan keselamatan yang serius.
“Namun, ekstremisme sayap kanan ternyata menjadi dorongan utama di sebalik tingkah laku ganas ini,” katanya.
“Apa kaitan neo-Nazisme dengan Indonesia? Apa kaitan ketuanan kulit putih dengan Indonesia?
“Namun ideologi ini wujud, dan mereka yang menyerap serta menghayatinya sebenarnya adalah kanak-kanak,” ujarnya.
Memandangkan fahaman ekstremisme sayap kanan semakin berakar umbi di peringkat sejagat dan menembusi Indonesia dengan mendalam, Encik Adrianus memberi amaran ia berpotensi muncul sebagai bentuk pengganasan baharu yang dilakukan oleh golongan dewasa pada masa hadapan.
“Ini seharusnya menjadi amaran kepada kita semua,” katanya.
Seramai 70 kanak-kanak itu, yang berasal dari 19 wilayah dengan hampir separuh berada di Pulau Jawa, merupakan anggota tiga kumpulan sembang yang diserbu polis.
Siasatan mendapati sebahagian daripada mereka merancang serangan ke atas sekolah masing-masing sebelum membunuh diri, termasuk rancangan membunuh guru dan mensabotaj sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Ada juga yang telah memperoleh bahan dan berlatih menggunakan pisau untuk menikam rakan sekelas yang pernah membuli mereka.
Menurut Encik Mayndra, ramai kanak-kanak itu mula tertarik kepada ideologi ganas selepas terdedah kepada keganasan rumah tangga atau mengalami buli di sekolah, sebelum menemui apa yang mereka sifatkan sebagai ‘rumah kedua’ dalam masyarakat dalam talian tersebut.
Walaupun menunjukkan niat jenayah yang serius, kanak-kanak berkenaan tidak ditahan dan tiada pertuduhan difailkan.
Sebaliknya, mereka dirujuk kepada program kaunseling, namun, campur tangan itu didapati tidak berkesan bagi sebahagian daripada mereka.
Pengerusi Pesuruhjaya Perlindungan Anak Indonesia (Kpai), Cik Margaret Aliyatul Maimunah, berkata kanak-kanak berada pada tahap yang sangat terdedah terhadap pengaruh ideologi ganas dan oleh itu perlu dilihat sebagai mangsa, dengan pendekatan yang mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Menurut Encik Eddy, agensi itu telah mengusulkan satu pelan tindakan nasional lima tahun bagi membanteras ideologi ganas yang menyasarkan kanak-kanak dalam ruang digital.
Pelan itu menekankan penyelarasan antara agensi kerajaan di peringkat nasional dengan wilayah.
Draf pelan tersebut masih belum ditandatangani oleh Presiden Prabowo Subianto.
Sekiranya dikuatkuasakan, ia akan menjadi rangka kerja perundangan bagi pentadbiran wilayah membangunkan program campur tangan untuk memulihkan kanak-kanak yang terdedah kepada ideologi ganas, disesuaikan dengan konteks tempatan dan ciri budaya masing-masing.
Sebagai tindak balas terhadap penemuan itu, Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah sedang merangka satu peraturan menteri bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan mesra kanak-kanak, ujar Ketua Inspektorat kementerian tersebut, Encik Faisal Syahrul.
“Kami berharap dapat mencegah kanak-kanak daripada terdedah kepada ideologi radikal melalui penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan kementerian,” katanya.

