Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

26 maut dan 17 cedera dalam serangan militan di Kashmir

Apr 23, 2025 | 2:08 PM
Para anggota pasukan keselamatan India mengawal ketat di pusat pemeriksaan berikutan serangan militan  di selatan Kashmir, pada 22 April 2025.
Para anggota pasukan keselamatan India mengawal ketat di pusat pemeriksaan berikutan serangan militan di selatan Kashmir, pada 22 April 2025. - Foto: Reuters

SRINAGAR, India: Seramai 26 orang terbunuh dan 17 yang lain cedera apabila suspek militan melepaskan tembakan ke arah pelancong di wilayah Jammu dan Kashmir India, kata polis pada 23 April, dalam serangan terburuk di negara itu dalam hampir dua dekad.

Serangan itu berlaku pada 22 April di destinasi popular Pahalgam di wilayah Himalaya yang menyaksikan kebangkitan semula kedatangan semula pelancong besar-besaran apabila keganasan pemberontak berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia merupakan serangan terburuk ke atas orang awam di India sejak kejadian tembakan di Mumbai pada 2008, membunuh lebih 160 orang.

Akibat serangan itu, Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, telah memendekkan lawatan dua harinya ke Arab Saudi dan kembali ke New Delhi pada pagi 23 April.

Menteri Kewangan Cik Nirmala Sitharaman juga memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat dan Peru “untuk bersama rakyat kita dalam masa yang sukar dan tragis ini”, kata kementeriannya.

Serangan yang berlaku di padang rumput di luar jalan raya itu telah membunuh 25 warga India dan seorang warga Nepal, kata polis.

“Tembakan berlaku di hadapan kami. Sangka kami seseorang sedang membakar mercun, tetapi apabila kami mendengar orang lain (menjerit), kami segera keluar dari situ... menyelamatkan nyawa kami dan lari,” kata seorang saksi kepada stesen penyiar India Today, tanpa memberikan namanya.

Sebuah kumpulan militan yang kurang dikenali, “Penentang Kashmir”, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam mesej media sosial.

Ia menyatakan rasa tidak puas hati bahawa lebih daripada 85,000 “orang luar” telah menetap di wilayah itu, mendorong “perubahan demografi”.

Pada 23 April, lebih sedozen organisasi tempatan menggesa penutupan wilayah persekutuan itu bagi membantah serangan ke atas pelancong, yang jumlahnya semakin meningkat dan telah membantu ekonomi tempatan.

Banyak sekolah juga menggantung kelas pada hari itu sebagai protes.

Syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan tambahan dari Srinagar, ibu kota musim panas wilayah itu, ketika pelancong bergegas meninggalkan wilayah itu, kata pegawai.

Keganasan militan telah melanda wilayah Himalaya, yang dituntut sepenuhnya tetapi diperintah sebahagiannya oleh India dan Pakistan, sejak pemberontakan anti-India bermula pada 1989.

Berpuluh-puluh ribu orang telah terbunuh, walaupun keganasan telah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

India telah membatalkan status istimewa Kashmir pada 2019, membahagikan negeri itu kepada dua wilayah yang ditadbir persekutuan - Jammu dan Kashmir, dan Ladakh.

Tindakan itu membolehkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan hak menetap kepada orang luar, membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan membeli tanah di wilayah itu.

Langkah itu telah membawa kepada kemerosotan hubungan dengan Pakistan, yang juga menuntut wilayah itu.

Pertikaian itu telah mencetuskan permusuhan sengit dan konflik ketenteraan antara negara jiran bersenjata nuklear.

Serangan yang menyasarkan pelancong di Kashmir telah semakin kurang berlaku.

Insiden maut terakhir berlaku pada Jun 2024 apabila sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 33 cedera selepas serangan militan menyebabkan bas yang membawa penganut Hindu terjun ke dalam gaung yang dalam. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg