MUMBAI: Empat kanak-kanak merupakan antara 27 orang yang terbunuh dalam kebakaran taman hiburan di India, menurut polis, ketika penyelamat meninjau tapak kemalangan pada pagi selepas kebakaran pada 26 Mei.
Mangsa yang terselamat dilaporkan terpaksa menendang pintu dan melompat keluar dari tingkap untuk melarikan diri dari api yang melanda pusat yang dipenuhi orang muda, yang sedang menikmati permainan termasuk boling, lapor media India pada pada 26 Mei.
Barisan mayat yang dibalut dengan kain putih dibentangkan sebelum dibawa pergi dari pusat di Rajkot, sebuah bandar di barat Gujerat.
Empat kanak-kanak yang dilaporkan maut itu semuanya berumur bawah 12 tahun, kata polis.
Polis juga memberi amaran bahawa banyak mayat melecur teruk sehingga sukar untuk mengenal pasti mereka.
Lebih 300 orang sedang menikmati cuti hujung minggu musim panas di bangunan dua tingkat di taman hiburan dan tema TRP apabila kebakaran berlaku pada petang 25 Mei, kata pegawai bomba, Encik Rajkot Ilesh Kher kepada pemberita pada malam kebakaran.
“Orang ramai terperangkap kerana struktur sementara di kemudahan itu runtuh berhampiran pintu masuk, menyukarkan orang ramai untuk keluar,” katanya.
Api merebak dengan cepat kerana bahan mudah terbakar struktur itu, tambahnya.
“Kami telah mengesahkan kematian 27 orang dalam kebakaran itu,” kata pegawai kanan polis, Encik Radhika Bharai kepada pemberita.
“Mayat-mayat itu hangus sehingga tidak dapat dikenali dan oleh itu sukar untuk mengenal pasti mereka,” tambahnya
Pegawai lain memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat lagi.
Mereka yang terselamat mengimbau kembali ketakutan mereka ketika mereka bergelut untuk melarikan diri dari kebakaran.
“Kami bermain boling apabila dua kakitangan memberitahu kami ada kebakaran di tingkat bawah dan kami harus pergi. Kawasan itu tidak lama kemudian dipenuhi asap,” kata Encik Pruthvirajsinh Jadeja kepada akhbar The Indian Express.
Dalam laman media sosial X, beliau berkata: “(Saya) Sangat tertekan dengan kemalangan kebakaran di Rajkot.
“Fikiran saya adalah dengan semua orang yang kehilangan orang tersayang. Saya berdoa untuk mereka yang cedera.”
Ia mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan api, dengan kira-kira sedozen ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Pegawai bomba berkata litar pintas disyaki sebagai punca kebakaran.
Gambar dari akaun Instagram yang kelihatan milik kemudahan itu menunjukkan pusat permainan dan rekreasi yang meriah, dengan remaja menikmati aktiviti seperti boling, go-kart dan trampolin. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg