Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

14 maut dalam kebakaran pangsapuri di Hanoi

May 24, 2024 | 2:40 PM
Hanoi
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mangsa ke ambulans berikutan kebakaran besar di blok pangsapuri di Hanoi pada 24 Mei. - Foto AFP

HANOI: Kebakaran yang melanda sebuah blok pangsapuri kecil di tengah Hanoi, telah membunuh sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan tiga yang lain, kata media pemerintah pada 24 Mei.

“Kebakaran berlaku sekitar 12.30 pagi. Kebakaran itu besar, dengan beberapa letupan kedengaran,” kata Agensi Berita Vietnam (VNA).

Gambar dari tempat kejadian pada pagi 24 Mei menunjukkan barang-barang hangus di halaman bangunan dan bahagian dalam bangunan di tingkat satu menjadi hitam.

Menjelang 6.20 pagi, sekurang-kurangnya 14 orang maut dan tiga cedera, VNA memetik pegawai tempatan sebagai berkata.

Tidak dapat dipastikan bilangan orang yang berada di dalam apartmen ketika kebakaran berlaku. Api dipadamkan sejam kemudian.

Bangunan pangsapuri itu terletak di lorong selebar dua meter, dengan 12 bilik untuk disewa.

Tingkat satu bangunan tersebut dilaporkan digunakan untuk menjual dan membaiki basikal elektrik.

Seorang jiran, yang enggan memberikan namanya, memberitahu AFP beliau mendengar “letupan seperti bunyi mercun”.

“Saya fikir ada pergaduhan atau sesuatu terkena tingkap. Saya berlari ke bawah dan melihat api.

“Ramai jiran telah lari keluar dari lorong, menyeberang melalui rumah jiran lain. Kami sangat, sangat takut.”

Wanita itu berkata tuan rumah bangunan itu telah menyelamatkan menantu perempuan dan seorang cucunya daripada kebakaran.

Encik Pham Quoc Viet, seorang pekerja penyelamat di lokasi, memberitahu laman berita, VNExpress bahawa tiada sesiapa yang ketinggalan di dalam bangunan tersebut.

“Anggota bomba cuba sedaya upaya mencari mangsa yang terselamat. Mereka menyelamatkan seorang wanita tua dan kemudian membawa empat orang lagi keluar. Kami periksa dengan teliti, tiada orang lain di dalam,” katanya.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg