HULL (England): Selepas 28 tahun mengembara merentasi empat benua dan 30 negara, seorang lelaki Britain akhirnya pulang ke rumah ibunya, sekali gus menamatkan perjalanan luar biasa sejauh 50,000 kilometer mengelilingi dunia tanpa menggunakan sebarang kenderaan.

Encik Karl Bushby, 57 tahun, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh ibunya, Cik Angela, apabila tiba di rumah keluarga mereka di Hull, utara England, pada 2 November.

“Ke mana kamu selama ini?” tanya ibunya sambil memeluk erat anak lelakinya yang meninggalkan rumah itu pada 1998.

Di hadapan rumah berkenaan, terpampang kain rentang bertulis, ‘Selamat Pulang, Anakku’, menyambut kepulangan Encik Bushby selepas hampir tiga dekad.

Bekas anggota pasukan payung terjun tentera Britain itu memulakan pengembaraannya dari Punta Arenas, Chile, pada 1 November 1998, ketika berusia 29 tahun.

Beliau bertekad mengelilingi dunia dengan berjalan kaki tanpa menaiki kapal terbang, bot atau menggunakan sebarang pengangkutan untuk meneruskan perjalanan.

Bagi mempertahankan prinsip tersebut, Encik Bushby sanggup menyeberangi Selat Bering – memisahkan Amerika Syarikat dengan Russia – yang dilitupi ais serta berenang merentasi Laut Caspian dan Selat Inggeris.

Namun, perjalanan yang pada awalnya dijangka mengambil masa beberapa tahun itu berlarutan sehingga 28 tahun akibat pelbagai cabaran.

Antaranya termasuk cuaca melampau, konflik bersenjata, masalah visa, kekurangan dana, krisis kewangan sejagat 2008 dan pandemik Covid-19 pada 2020.

Encik Bushby mengakui beliau tidak pernah membayangkan pengembaraan itu akan mengambil masa begitu lama.

“Kami menjangkakan perjalanan ini mengambil masa lebih 12 tahun. Tetapi dalam mimpi paling liar sekalipun, kami tidak pernah membayangkan ia akan mengambil masa 28 tahun,” katanya.

Idea pengembaraan tersebut tercetus selepas bapanya, Keith, yang juga bekas anggota tentera, menghantar kad hari jadi kepadanya pada pertengahan 1990-an.

Kad itu menyebut perdebatan antara dua anggota pasukan khas mengenai kemungkinan berjalan kaki dari London ke New York melalui kawasan Selat Bering.

Teruja dengan cabaran tersebut, Encik Bushby merancang laluan yang akhirnya membawanya merentasi Amerika Selatan, Amerika Utara, Asia dan Eropah.

Namun, perjalanan itu beberapa kali hampir meragut nyawanya.

Pada 2001, beliau merentasi kawasan hutan Darién Gap yang berbahaya antara Colombia dengan Panama, ketika konflik bersenjata masih berlaku di Colombia.

Beliau kemudian dipenjarakan selama 18 hari selepas memasuki kawasan sempadan larangan di Panama.

Cabaran lebih getir menantinya ketika menyeberangi Selat Bering sejauh 90 kilometer bersama pengembara Amerika, Encik Dimitry Kieffer, pada 2006.

Mereka berdepan ancaman beruang kutub, beberapa kali terjatuh ke dalam air yang hampir membeku dan nyaris kehilangan semua bekalan apabila kereta luncur mereka terbenam ke laut.

Selepas berjaya menyeberang, kedua-duanya ditahan pihak berkuasa Russia kerana memasuki negara itu secara tidak sah.

Masalah visa dan cuaca menyebabkan Encik Bushby mengambil masa hampir 10 tahun untuk merentasi Russia secara berperingkat.

Apabila permohonan visanya ditolak pada 2012, beliau berjalan kaki dari Los Angeles ke Kedutaan Russia di Washington sebagai tanda bantahan, sebelum akhirnya memperoleh dokumen perjalanan yang diperlukan.

Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, Encik Bushby berkata pengembaraannya tidak mungkin berjaya tanpa bantuan orang ramai yang ditemuinya sepanjang perjalanan.

“Mereka mengatakan sesuatu kejayaan memerlukan bantuan seluruh masyarakat, tetapi bagi saya, seluruh dunia diperlukan untuk membawa saya pulang,” katanya.

“Begitu ramai orang yang tidak saya kenali membantu saya, daripada individu biasa hingga pemerintah negara. Saya tidak melakukannya seorang diri.”

Pada hari terakhir pengembaraannya, ratusan penduduk berkumpul di Dewan Bandar Raya Hull untuk menyambut kepulangannya.

“Maaf kerana membuat anda semua menunggu,” katanya berseloroh kepada orang ramai yang bersorak.

Namun, detik paling bermakna ialah pertemuan semula dengan ibunya yang tidak ditemuinya sejak sedekad lalu.

Encik Bushby turut bertemu semula dengan anak lelakinya, Adam, 36 tahun, daripada perkahwinan terdahulu, serta cucu perempuannya yang berusia 12 tahun buat kali pertama.

Beliau mengakui pertemuan dengan ibunya amat menyentuh perasaan kerana kedua-duanya sudah banyak berubah.

“Agak mengejutkan melihat ibu saya selepas sekian lama. Beliau sudah banyak berubah. Kami semua sudah banyak berubah,” katanya.

Kini, selepas menghabiskan hampir separuh hayatnya mengembara, Encik Bushby berdepan cabaran baharu untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan biasa.

Beliau sudah dijadualkan menyampaikan enam ceramah dalam tempoh dua bulan, selain menyiapkan sambungan memoirnya, Giant Steps.

Pengarah filem Jerman, Werner Herzog, turut menghasilkan dokumentari mengenai pengembaraannya.

Bagaimanapun, Encik Bushby mengakui beliau masih belum pasti bagaimana kehidupannya selepas ini.

“Satu-satunya cara untuk mengatasi perasaan itu adalah mencari misi baharu, semangat baharu dan terus menyibukkan diri.

“Itulah yang saya berhasrat lakukan,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti