Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan motosikal wanita beri ruang selamat kepada anggota kongsi minat

Sejak ditubuhkan kumpulan Tippy Toes telah tarik lebih 200 anggota wanita yang bermotosikal
Jun 10, 2025 | 11:46 AM
Berusia dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an tahun, (dari kiri) Cik Nina Neo, Cik Maggie, Cik Anne Klaassen dan Cik Putri, menganggap menunggang motosikal tidak berbahaya seperti tanggapan ramai, dan tanggungjawab sewaktu mengendali kenderaan itu penting demi memastikan keselamatan.
Berusia dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an tahun, (dari kiri) Cik Nina Neo, Cik Maggie, Cik Anne Klaassen dan Cik Putri, menganggap menunggang motosikal tidak berbahaya seperti tanggapan ramai, dan tanggungjawab sewaktu mengendali kenderaan itu penting demi memastikan keselamatan. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ramai yang menganggap menunggang motosikal itu berisiko tinggi, apatah lagi sebagai sumber pengangkutan pilihan harian.

Namun begitu, minat menunggang motosikal semakin ketara dalam kalangan wanita di Singapura dan terkini, sekumpulan penunggang wanita bersatu untuk menubuhkan kelab khas untuk mereka berkumpul, berkongsi pendapat dan sebagainya.

Salah seorang anggotanya ialah Cik Anne Klaassen, 31 tahun, yang berasal dari Belanda, mengakui melihat peningkatan dalam kalangan wanita yang mengambil lesen motor semasa beliau sendiri mengambilnya di Singapura pada awal 2025.

“Semasa saya mengambil kelas 2B pada 2024, saya tidak lihat ramai wanita, tetapi apabila saya menyambung ke kelas 2A, saya perhatikan lebih ramai wanita yang mendaftar, dan ini membuat saya teruja,” kata Cik Klaassen.

Beliau, yang bekerja di Singapura dalam sektor kewangan, kini menunggang motosikal berkuasa jenama KTM dari Austria yang baru dimilikinya sejak sebulan lalu.

Kelas menunggang motosikal mengikut peringkat dan kuasa motosikal yang ingin ditunggang.

Kelas 2 merupakan kelas tertinggi dan seseorang yang mempunyai lesen kelas 2 boleh menunggang motosikal berkuasa lebih tinggi.

Dengan minat dan masyarakat penunggang motosikal wanita yang kian berkembang, seorang penunggang Cik Nina Neo, 20-an tahun, menubuhkan kumpulan motosikal ‘Tippy Toes’ khas untuk wanita yang mempunyai motosikal mereka sendiri.

“Ia bermula apabila saya dan teman saya, Maggie, yang saya kenali di bengkel motor yang sama mula rapat dan kami sering mendapat pertanyaan di akaun TikTok kami tentang lesen motosikal, jadi kami mulakan kumpulan ini supaya kaum wanita selesa untuk bertanya dan berkongsi pengalaman mereka,” jelas Cik Neo, seorang anak tunggal.

Nama kumpulan itu tercetus apabila pengasasnya, Cik Neo dan Cik Maggie kededuanya mengaku mereka ‘kurang ketinggian’, dan terpaksa ‘menjengket’ ketika menunggang motosikal mereka.

Bahkan, semasa sesi penggambaran, ada dalam kalangan wanita itu mengambil sedikit masa untuk memusingkan motosikal mereka kerana berat dan ketinggian motor-motor itu.

Kelab ‘Tippy Toes’ mengadakan perjumpaan pertama mereka pada 30 Mei lalu, menarik hampir 30 wanita yang berkumpul dengan motosikal mereka, serta menunggang bersama di daerah East Coast Park.

Sejak ditubuhkan bulan lalu, kumpulan Tippy Toes telah menarik lebih 200 anggota wanita yang bermotosikal.

View post on TikTok

Rakan Cik Neo yang hanya ingin dikenali sebagai Maggie memberi penjelasan mengapa ada di antara mereka enggan dikenali dengan nama penuh mereka atau memberi butiran peribadi lanjut untuk temu bual ini.

“Kami ada piawaian yang ketat untuk menerima anggota baru. Ini kerana kami tidak mahu orang lelaki atau mereka yang berniat jahat termasuk dalam kumpulan kami.

“Anggota kami terdiri daripada wanita dari umur 19 tahun hingga 40-an tahun.

“Sebagai pengasas, saya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka, di jalan raya dan juga di dalam talian,” kata Cik Maggie.

Bercakap tentang tanggapan negatif yang pernah mereka terima, seorang lagi penunggang motosikal yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Putri mengatakan beliau pernah menerima satu komen negatif pada video TikToknya.

“Orang itu menulis: “Seorang wanita harus bertukar kepada motosikal yang lebih kecil jika anda tidak boleh mengendalikan yang besar.

“Sebagai penunggang wanita yang bersaiz kecil molek, ia sentiasa mencabar – sama ada motosikal itu besar atau kecil. Ini bukan tentang saiz motosikal, ia tentang tekad dan membuktikan saya boleh mengendalikannya,” kata Cik Putri.

Bagi menangani tanggapan stereotaip tentang wanita bermotosikal dan menganggap ia bahaya, Cik Neo pula berkata lama-kelamaan tanggapan itu akan ‘hilang’ dengan sendirinya.

“Sebagai penunggang baru, kami semua pasti membuat kesilapan, tetapi lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan, dan kami dapat membuktikan stereotaip itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Cik Maggie pula berkata semasa menunggang di jalan ramai yang akan ‘memandang’ dengan rasa ingin tahu.

“Ada yang memberi senyuman, ada yang memberikan ‘thumbs up’, kerana mungkin ini bukan kebiasaan, jadi kami menarik perhatian,” kata Cik Maggie.

Bantahan daripada keluarga juga merupakan satu halangan yang dihadapi oleh ramai penunggang wanita.

Walaupun bapanya sendiri seorang ahli sukan lumba kereta lasak, motocross profesional, Cik Klaassen juga tidak dibenarkan belajar menunggang motosikal tetapi melakukannya juga di Singapura tanpa pengetahuan bapanya di Austria.

Meskipun pada awalnya membantah, kini bapanya berubah fikiran setelah melihat Cik Klaassen menunggang motosikal dan memberi galakan sepenuhnya.

Cik Klaassen menambah menunggang motosikal mengubah persepsi masyarakat dan menunjukkan bahawa wanita boleh yakin, berkemahiran dan bersemangat untuk menunggang seperti orang lain.

“Menunggang motosikal bagi saya sebagai seorang wanita melambangkan kebebasan dan kecekalan.

“Ia menunjukkan bahawa wanita juga mampu melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan oleh lelaki,” kata Cik Klaassen, yang juga mengaku bermotosikal telah memberinya peluang mengenali penunggang lain daripada pelbagai latar belakang.

Beliau juga seronok dapat meronda dan keliling Singapura dan negara berdekatan bersama motosikalnya.

Cik Putri, yang mempunyai lesen Kelas 2, berkata amat payah mendapatkan persetujuan daripada ibu bapanya yang risau tentang keselamatannya.

Cik Putri merakam pengalamannya bermotosikal dan mempunyai lebih 20,000 pengikut di TikTok.
Cik Putri merakam pengalamannya bermotosikal dan mempunyai lebih 20,000 pengikut di TikTok. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya sudah lama minat menunggang motosikal dan apabila saya mendapat lesen pertama, saya terus membeli motosikal.

“Pada awalnya, ibu bapa saya rasa bimbang, tapi lama-kelamaan, setelah mereka lihat saya seorang yang bertanggungjawab di jalan raya dan tidak pecut, mereka semakin yakin,” kata Cik Putri yang menunggang motor Triump Speed 900.

Namun begitu, Cik Putri berkata beliau belum berani untuk membonceng ibunya sendiri.

Anggota kelab tersebut melihat hobi mereka sebagai satu bentuk pemerkasaan dan ekspresi diri dalam dunia yang didominasi lelaki, dan teruja dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Semasa saya mengambil kelas 2B pada 2024, saya tidak lihat ramai wanita, tetapi apabila saya menyambung ke kelas 2A, saya perhatikan lebih ramai wanita yang mendaftar, dan ini membuat saya teruja.”
Cik Anne Klaassen.

“Ia bermula apabila saya dan teman saya, Maggie, yang saya kenali di bengkel motor yang sama mula rapat dan kami sering mendapat pertanyaan di akaun TikTok kami tentang lesen motosikal, jadi kami mulakan kumpulan ini (Tippy Toes) supaya kaum wanita selesa untuk bertanya dan berkongsi pengalaman mereka.”
Cik Nina Neo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg