Topic followed successfully
Go to BHku3 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik sejagat
3 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik sejagat
3 bilion dos vaksin Covid-19 sudah disuntik sejagat
PARIS: Lebih tiga bilion dos vaksin Covid-19 telah diberi kepada individu di serata dunia, menurut tinjauan AFP berdasarkan sumber rasmi hingga kelmarin.
Dengan program vaksinasi yang dipergiat, tempoh yang diambil untuk memberi lebih banyak vaksin kini lebih cepat.
Sementara negara di seluruh dunia mengambil masa 20 minggu untuk memberikan satu bilion dos pertama vaksin itu, tempoh yang diambil untuk memberi satu bilion dos terakhir hanya empat minggu.
Sekitar 40 peratus vaksin itu diberi di China, dengan India dan Amerika Syarikat juga tampil sebagai antara negara yang telah memberikan paling banyak vaksin Covid-19 sejauh ini.
Namun dari segi perlindungan, tiga negara Timur Tengah mendahului negara lain, dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah memberi 153 dos bagi setiap 100 orang sementara Bahrain dan Israel telah memberi 124 dos bagi setiap 100 orang.
Ketiga-tiga negara itu telah hampir mengvaksinasi sepenuhnya 60 peratus penduduk mereka.
Dalam pada itu, Chile telah memberi 118 dos, Britain 113 dos, Mongolia 111 dos, Uruguay 110 dos, Hungary 107 dos, Qatar 107 dos dan Amerika 98 dos bagi setiap 100 orang.
Negara ini telah hampir mengvaksinasi sepenuhnya sekitar separuh penduduk mereka, iaitu antara 46 dengan 54 peratus.
Secara keseluruhan, Kesatuan Eropah (EU) telah memberi 357 juta dos vaksin Covid-19 kepada separuh penduduknya, dengan kira-kira 32 peratus penduduk telah divaksinasi sepenuhnya.
Negara paling kecil dalam EU, Malta, telah memberi vaksin kepada 70 peratus penduduknya.
Sementara itu, negara lebih besar seperti Jerman, Perancis, Italy dan Sepanyol telah memberi vaksin sepenuhnya kepada satu pertiga penduduknya.
Namun di peringkat global, usaha vaksinasi masih tidak setara rata-ratanya walaupun banyak negara miskin telah mula memberi vaksin kepada penduduk mereka hasil skim Covax kendalian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), perikatan Gavi dan gabungan Cepi.
Sementara negara paling miskin dunia hanya mampu memberi vaksin kepada satu orang daripada setiap 100 orang, negara paling kaya dapat memberi vaksin kepada satu orang daripada setiap 79 orang.
Dan lima negara termasuk Tanzania, Burundi, Eritrea, Haiti dan Korea Utara belum memulakan program vaksinasi mereka.
Meskipun diselubungi kontroversi, vaksin Oxford-AstraZeneca tetap paling digunakan di seluruh dunia, dengan lapan daripada setiap 10 negara memberikannya kepada penduduk mereka.
Ini diikuti dengan vaksin Pfizer-BioNTech yang digunakan di 102 negara atau 47 peratus negara yang sudah memulakan program vaksinasi mereka.
Sinopharm dan Moderna pula digunakan di sekurang-kurangnya 48 negara manakala Sputnik V dari Russia digunakan di sekurang-kurangnya 41 negara, Johnson & Johnson di 31 negara dan Sinovac di 24 negara. - AFP.

