Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 cedera dalam kes tikaman di masjid Canada

Polis: Kes dipercayai tiada motif kebencian, individu terbabit saling kenal
May 3, 2025 | 4:36 PM
Tiga individu cedera dalam satu kes tikaman di sebuah masjid di Hamilton, Canada, menurut kenyataan polis pada 2 Mei.
Tiga individu cedera dalam satu kes tikaman di sebuah masjid di Hamilton, Canada, menurut kenyataan polis pada 2 Mei. - Foto INSTAGRAM CBC

HAMILTON: Sekurang-kurangnya tiga individu cedera dalam satu kes tikaman di sebuah masjid di Hamilton, Canada, menurut kenyataan polis pada 2 Mei.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan, Perkhidmatan Polis Hamilton, dalam kenyataannya, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tikaman yang berlaku di sebuah masjid di kawasan pusat bandar.

Polis menerima laporan pada 2.15 petang bahawa beberapa individu telah ditikam selepas berlaku satu pertengkaran yang bermula di luar masjid di York Boulevard sebelum berlarutan ke dalam bangunan.

Menurut pihak polis, kes tersebut pada masa ini tidak dipercayai bermotifkan kebencian dan individu yang terbabit saling mengenali antara satu sama lain.

Pada awalnya, dua mangsa dilaporkan dibawa ke hospital, seorang mengalami kecederaan tidak mengancam nyawa, manakala seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di lokasi kejadian.

“Seorang lagi mangsa kemudian tampil di hospital dengan kecederaan yang juga tidak mengancam nyawa,” menurut kenyataan berasingan pihak polis.

Polis kini sedang mengesan dua suspek yang melarikan diri ke arah yang tidak diketahui.

“Terdapat laporan bercanggah sama ada mereka melarikan diri menggunakan satu atau dua kenderaan,” kata polis lagi.

Setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang gambaran identiti suspek dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan yang masih berjalan.

Ahli Parlimen bagi kawasan Hamilton Centre, Encik Aslam Rana, berada di masjid berkenaan lewat petang dan memaklumkan beliau mendengar mengenai kes itu sebelum bergegas ke lokasi dan sempat berbincang dengan pihak polis.

Beliau dimaklumkan bahawa satu solat berjemaah sedang berlangsung sekitar 2 petang ketika kejadian berlaku.

“Ramai jemaah hadir dan kes ini berlaku berhampiran kawasan menyimpan kasut,” katanya.

Encik Aslam, bagaimanapun, belum sempat berbincang dengan pihak pengurusan masjid.

“Tempat ibadah seperti ini sepatutnya menjadi tempat yang selamat… semua orang harus dapat beribadah dengan aman dan pulang dengan selamat,” katanya kepada media, CBC Hamilton. – Agensi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg