DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pada 16 April menafikan laporan media yang mendakwa mereka terlibat dalam rundingan bersama Amerika Syarikat mengenai rancangan serangan darat ke atas kumpulan Houthi di Yaman.
Pembantu Menteri Hal Ehwal Politik UAE, Cik Lana Nusseibeh, menyifatkan laporan tersebut sebagai “cerita liar tanpa asas.”
Dalam kenyataan kepada agensi berita, Reuters, beliau berkata: “Kami menolak dakwaan yang tidak berasas dan tidak mencerminkan dasar rasmi UAE terhadap konflik di Yaman.”
Seorang pegawai kerajaan Arab Saudi turut mengeluarkan kenyataan menafikan laporan itu pada hari yang sama.
“Ia adalah maklumat palsu yang tidak mencerminkan kenyataan sebenar,” kata sumber tersebut.
Laporan asal diterbitkan oleh The Wall Street Journal pada 14 April, mendakwa beberapa puak bersenjata di Yaman merancang melancarkan serangan darat di sepanjang pantai Laut Merah, dengan sokongan tidak langsung daripada serangan udara Amerika terhadap kedudukan Houthi.
Laporan itu menyebut UAE dikatakan telah membincangkan rancangan tersebut dengan pegawai Amerika.
Bloomberg pula melaporkan pada 16 April tentera Yaman yang menentang Houthi sedang berbincang dengan Amerika dan sekutu Teluk mengenai kemungkinan melancarkan serangan darat.
UAE merupakan sebahagian daripada gabungan ketenteraan yang dipimpin Arab Saudi yang mula melancarkan operasi ketenteraan di Yaman pada 2015 untuk menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Namun UAE menarik balik sebahagian besar tenteranya menjelang 2019.
Sejak gencatan senjata dicapai pada 2022, konflik utama telah berkurang, namun kumpulan Houthi masih menguasai wilayah barat Yaman, termasuk pelabuhan strategik Hodeidah.
Kawasan itu merupakan sasaran utama dalam serangan terdahulu oleh gabungan yang akhirnya gagal.
Houthi mula melancarkan serangan ke atas kapal dagang di Laut Merah sebagai tanda sokongan terhadap Palestin dalam konflik Gaza, sekali gus mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Amerika..
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran kepada Houthi, jika serangan mereka tidak dihentikan, “malapetaka neraka akan menimpa ke atas kamu seperti yang tidak pernah kamu lihat sebelumnya”.
Walaupun berdepan pengeboman bertubi-tubi sejak 2015, kumpulan Houthi masih mengekalkan kedudukan strategik dan struktur kuasa mereka.
Mengulas keadaan semasa, Cik Nusseibeh berkata: “UAE tetap komited kepada usaha damai yang berkekalan di Yaman dan tidak menyokong sebarang pendekatan ketenteraan baharu tanpa mandat antarabangsa.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg